Ekonomi 28/10/2026 12:29 AM

Eksport Malaysia Ke AS Melonjak 69.1 Peratus Kepada RM282.07 Bilion – MITI

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Eksport Malaysia Ke AS Melonjak 69.1 Peratus Kepada RM282.07 Bilion – MITI
-- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak sebanyak 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026 manakala jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat 39.6 peratus kepada RM378.70 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan prestasi perdagangan Malaysia dengan AS terus mencatatkan pertumbuhan meskipun eksport negara ini dikenakan tarif tambahan susulan penyiasatan di bawah pelbagai instrumen perundangan dijalankan oleh Washington.

Menurut kementerian, prestasi eksport yang kukuh didorong terutamanya oleh lonjakan permintaan produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor, susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

“Faktor kritikal yang turut memangkin pertumbuhan ini ialah kelebihan strategik Malaysia yang mendapat pengecualian daripada pengenaan tarif tambahan oleh AS bagi kebanyakan produk semikonduktor dan E&E,” maklum MITI menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kesan pengenaan tarif AS terhadap industri Malaysia sepanjang 2026 serta pasaran alternatif baharu yang diteroka bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeksport barangan masing-masing.

Sektor E&E menyumbang kira-kira 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS, dengan 44 peratus daripada jumlah eksport E&E terdiri daripada produk semikonduktor.

Bagaimanapun, bagi tempoh yang sama, eksport sarung tangan getah Malaysia ke AS turun 1.6 peratus kepada RM5.0 bilion, eksport perabot merosot 19.2 peratus kepada RM3.77 bilion manakala eksport peranti perubatan menurun 12.0 peratus kepada RM8.74 bilion.

Beberapa industri utama Malaysia juga menurut MITI, berdepan tekanan untuk menyerap kos tarif AS atau menawarkan diskaun kepada pembeli bagi mengekalkan daya saing produk, meneruskan eksport serta memelihara akses ke pasaran tersebut.

MITI berpendapat bahawa usaha mempelbagaikan pasaran dan mengurangkan kebergantungan yang berlebihan terhadap mana-mana satu pasaran merupakan langkah terbaik untuk meminimumkan risiko keterdedahan kepada kejutan luaran serta dapat meningkatkan daya tahan perdagangan negara.

“Sehubungan itu, MITI terus giat berusaha meningkatkan akses pasaran serta pembukaan pasaran baharu melalui pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang dimeterai, di samping meneroka pasaran bukan tradisional di Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin, dan Asia Selatan,” maklum MITI.

Sementara itu dalam jawapan berasingan kepada Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), kementerian itu memaklumkan pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) bagi sektor perkhidmatan sedang dalam proses dimuktamadkan selepas dilaksanakan bagi sektor perkilangan mulai 1 Mac 2026.

“NIF mengubah pendekatan pemberian insentif cukai sedia ada yang berasaskan produk dan aktiviti kepada pendekatan berasaskan keberhasilan, dengan penekanan lebih besar kepada hasil dan impak ekonomi yang dijana oleh sesuatu projek,” maklum MITI.

Mohd Syahir bertanyakan mengenai pembaharuan dalam proses penilaian permohonan pelaburan bagi memastikan nilai tambah kepada ekonomi negara, khususnya melalui penciptaan pekerjaan berkualiti.

-- BERNAMA