KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati keputusan gabungan itu menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban kepada calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap anggota parti perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh gabungan dan parti masing-masing dalam menentukan kerjasama serta pembahagian kerusi pilihan raya.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata PH mengamalkan pendekatan perbincangan secara terbuka dengan mempertimbangkan pelbagai kemungkinan dalam menentukan hala tuju kerjasama politik.
“Ini keputusan PH dan semua anggota parti wajar menghormati keputusan gabungan ataupun dalam gabungan.
“Kita di PH berbincang secara terbuka, melihat kepada sebarang kebarangkalian dan sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Perasmian Sesi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, bekas Pengerusi DAP Melaka Damian Yeo dilaporkan sanggup meninggalkan politik berbanding menyokong langkah PH menyerahkan kerusi DUN Bemban kepada calon Bersatu pada PRN Melaka.
Tindakan Yeo dibuat susulan pengkhianatan politik pada masa lepas yang menyukarkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu menerima sebarang cadangan kerjasama dengan Bersatu.
Sementara itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata sebarang keputusan melanjutkan persefahaman dengan Bersatu bagi PRN Sarawak atau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) belum dimuktamadkan.
“Setakat ini, kita belum diuji lagi dan akan tengok selepas PRN Melaka, apakah hasilnya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata keputusan mengenai kerjasama PH dan Bersatu di Selangor belum boleh dimuktamadkan mengambil kira beberapa perbincangan lain yang perlu diputuskan terlebih dahulu.
“Kita tunggu sebab ia (kerjasama PH dan Bersatu di Selangor) melibatkan perbincangan lain yang panjang. Insya-Allah kita akan putuskan segera dalam masa terdekat. Mungkin sewaktu pilihan raya atau selepas,” katanya.
-- BERNAMA