KUALA NERANG, 27 Okt (Bernama) – Jenazah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut dalam insiden perlanggaran bot di perairan Perlis semalam, selamat dikebumikan malam ini.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di sini pada 9.45 malam dengan istiadat pengebumian dilaksanakan APMM sebagai penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah tiba di masjid berkenaan pada 8.41 malam dengan van jenazah dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas selesai proses bedah siasat.
Solat jenazah yang diimamkan Mohd Izhar Zakaria disertai ratusan jemaah terdiri daripada ahli keluarga, penduduk setempat dan anggota APMM.
Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan masjid berkenaan untuk dikebumikan dengan kira-kira 500 orang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Selesai pengebumian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham sebagai tanda penghormatan atas khidmat dan pengorbanannya.
Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa serta puluhan anggota agensi berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam semalam, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi anggota cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai melanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang berhampiran Kuala Perlis.
Ketika kejadian, mereka sedang mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin.
-- BERNAMA