MELAKA, 27 Okt (Bernama) -- Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 akan menjadi hala tuju baharu bagi transformasi ekosistem TVET negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata empat siri sesi libat urus telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Pahang melibatkan 256 peserta.
"Dapatan serta pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan kini sedang dimurnikan bagi memperkukuh dasar dan pelan pembangunan TVET yang lebih responsif terhadap keperluan industri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh ekosistem TVET negara melalui pembaharuan dasar, pembangunan kompetensi tenaga kerja serta peluasan akses latihan kemahiran.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan bakat tempatan kekal berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan ekonomi negara yang semakin dipacu oleh teknologi.
Ahmad Zahid berkata dalam masa yang sama, cadangan pembangunan Indeks Kompetensi Nasional (NCI) juga diberi perhatian.
Inisiatif yang dicadangkan untuk diterajui oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui MyRIVET di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu dirangka bagi mengukur kompetensi tenaga kerja berdasarkan tiga dimensi utama, iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap.
"Saya melihat pembangunan indeks ini sebagai langkah penting untuk mengenal pasti jurang kemahiran secara lebih sistematik, sekali gus memperkukuh perancangan latihan semula dan peningkatan kemahiran berdasarkan keperluan sebenar sektor industri," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata peluasan Fasa 3 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 melalui Modul Kenegaraan di institusi TVET awam turut dicadangkan mulai 2027/2028.
Beliau berkata pelaksanaan secara berfasa itu diunjurkan melibatkan 673 institusi dengan anggaran 70,000 hingga 100,000 peserta, tertakluk kepada pertimbangan dan kesiapsiagaan pelaksanaan.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan membentuk generasi muda yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah mempunyai jati diri, disiplin dan semangat patriotisme yang tinggi.
"Usaha memperluas peluang peningkatan kemahiran rakyat turut diperkukuh melalui Model Pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti.
"Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembelajaran fleksibel, penawaran kursus kemahiran dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kompetensi, kebolehpasaran serta peluang penjanaan pendapatan masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata persediaan penganjuran Hari TVET Negara 2027 turut diberi tumpuan dengan Dataran Putrajaya dijadikan sebagai lokasi yang dicadangkan pada 4 hingga 7 Jun 2027.
"Sambutan ini akan terus menjadi platform penting untuk memperluas kesedaran masyarakat mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET, selain memperkukuh kerjasama antara institusi latihan dan industri.
"Saya yakin melalui komitmen berterusan kerajaan serta kerjasama erat industri dan institusi latihan, TVET akan terus diperkasa sebagai pilihan utama kerjaya dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA