Ekonomi 27/10/2026 05:03 PM

Pernah Catat Jualan 5,000 Cawan Untuk Tempoh Tiga Hari, Kopi Royale Johor Sasar Buka Kafe

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pernah Catat Jualan 5,000 Cawan Untuk Tempoh Tiga Hari, Kopi Royale Johor Sasar Buka Kafe
Antara minuman berasaskan kopi yang mendapat sambutan ramai disediakan oleh Kopi Royale Johor.

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Pernah mencatatkan jualan lebih 5,000 cawan dalam tempoh tiga hari, pengasas jenama Kopi Royale Johor menyasarkan pembukaan sebuah kafe dalam tempoh tiga tahun lagi bagi mengembangkan perniagaannya.

Pengasasnya, Nurul Afiqah Mazalan berkata kejayaan mencatatkan rekod jualan berkenaan dicapai sewaktu menyertai program jelajah jualan di Muar, sekali gus membuktikan kopi kampung mendapat tempat dalam kalangan penggemar minuman berkenaan.

Beliau berkata Kopi Royale Johor beroperasi di sebuah gerai di Bandar Seri Alam, dua di universiti Pasir Gudang dan sebuah pusat beli-belah di Kota Tinggi menerusi kerjasama dengan sebuah perusahaan makanan.

Sehubungan itu, Nurul Afiqah berkata sasaran seterusnya adalah untuk membuka sebuah kafe yang bukan sahaja menyajikan kopi tempatan, malah menawarkan pelbagai makanan dan pastri.

"Sasaran mungkin dalam tiga tahun lagi, sekarang proses itu masih berjalan dan sedang mengumpul modal," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau mahu melihat jenama kopi tempatan yang diasaskannya bersama suami, Mohammad Fazarikman Mohd Faudzi berkembang daripada sebuah gerai yang turut dikunjungi pelanggan dari Brunei dan Singapura kepada jenama yang setanding dengan kafe kopi lain di negara ini.

Menurutnya antara keistimewaan Kopi Royale Johor adalah keunikan kopi kampung yang diolah mengikut cita rasa terkini, dengan menggunakan biji kopi Robusta dari Indonesia yang kemudiannya diproses di sebuah kilang di sini.

Selain keunikan rasanya, keistimewaan minuman itu turut terletak pada saiz cawan yang agak besar dengan harga berpatutan antara RM4 hingga RM14.

Nurul Afiqah berkata pelbagai pilihan minuman ditawarkan kepada pelanggan selain memperkenalkan menu mengikut musim untuk menonjolkan keunikan kopi dan juga melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan.

"Sekarang kami menawarkan enam jenis minuman yang berbeza mengikut topping, selain itu kami juga memperkenalkan menu kopi berdasarkan musim.

"Kami akan menghasilkan menu setiap bulan atau dua bulan, seperti menu Butterscotch Dalgona yang kami keluarkan untuk bulan ini," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Fokusnya ketika ini adalah untuk mengukuhkan jenama dan perniagaan di Johor terlebih dahulu sebelum melangkah ke negeri lain demi mengekalkan struktur harga mampu milik.

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan bersama suami, beliau berkata ia bermula selepas mereka terkandas selama dua tahun di Singapura berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

Beliau yang bekerja dalam bahagian Jaminan Kualiti (QA/QC), manakala suami di bahagian gudang syarikat makanan sihat di Singapura, mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan berniaga makanan sebelum menceburi perniagaan minuman itu pada Januari 2023, dengan modal permulaan lebih RM1,000 tanpa sebarang pinjaman.

Dalam pada itu, Nurul Afiqah berkata penggunaan platform media sosial seperti TikTok memainkan peranan besar dalam perancangan self-branding bagi memperkenalkan jenama perniagaannya kepada orang ramai.

Beliau berkata strategi pemasaran digital itu membuahkan hasil apabila salah satu video santai yang dimuat naik di platform berkenaan tular, sehingga meraih 12.1 juta tontonan dan menarik kehadiran pelanggan ke gerai mereka.

“Video tular itu menjadi permulaan kepada video-video lain. Kebanyakan kandungan video saya melibatkan komunikasi dengan pelanggan,” katanya sambil menambah video berkenaan mendorong orang ramai datang ke gerainya dan membantu menghasilkan kandungan bagi meningkatkan interaksi dengan pengikut di media sosial.

-- BERNAMA