Politik 22/10/2026 05:06 PM

Daftar Pemilih Tambahan September 2026 Dibuka Untuk Semakan - SPR

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Daftar Pemilih Tambahan September 2026 Dibuka Untuk Semakan - SPR

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) --Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2026 (DPT BLN9/2026) boleh dibuat bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 20 Nov, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata DPT BLN9/2026 yang diwartakan hari ini mengandungi 44,987 nama warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Sept 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu, DPT tersebut mengandungi 21,720 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,805 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.

"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Sept 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2026. 

"Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN9/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui empat kaedah, iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih 03-8892 7218.

"Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN9/2026," katanya.

Beliau berkata sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN9/2026, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

-- BERNAMA