Am 22/10/2026 06:03 PM

UKM Perkaya Pembelajaran AI Melalui Kerjasama MIT Open Learning

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UKM Perkaya Pembelajaran AI Melalui Kerjasama MIT Open Learning
Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menyediakan pelajar dan kakitangannya akses tiga tahun kepada program Universal AI daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT) Open Learning, bagi memperkukuh pengetahuan serta kemahiran praktikal mereka dalam kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu yang disampaikan melalui platform dalam talian MIT Learn, akan memberikan komuniti universiti akses kepada 17 modul asas AI dan sembilan modul khusus industri, yang merangkumi konsep serta aplikasi AI merentasi pelbagai bidang.

Bahan pembelajaran tersebut termasuk video, tutorial, set data sampel dan penilaian, serta AskTIM iaitu tutor peribadi berkuasa AI yang memberikan penerangan lanjut untuk membantu pelajar mendalami pemahaman mereka.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata AI semakin membentuk cara orang ramai belajar, bekerja dan menyelesaikan masalah merentasi pelbagai disiplin.

“Melalui akses kepada Universal AI oleh MIT Open Learning, kami mahu memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan kami untuk membina pemahaman yang lebih kukuh mengenai AI, daripada konsep asas hinggalah kepada aplikasi praktikalnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu juga akan mendedahkan ahli akademik UKM kepada sumber pendidikan MIT, di samping mencipta peluang untuk mereka menyumbang pengetahuan daripada bidang kepakaran masing-masing dan berpotensi mencapai khalayak global yang lebih meluas.

Selain menyediakan akses langsung kepada modul-modul tersebut, UKM merancang untuk mengintegrasikan bahan Universal AI terpilih ke dalam kursus berkaitan AI yang bersesuaian, merentasi program akademik dan profesionalnya, termasuk program diploma pascasiswazah, prasiswazah, sarjana dan sijil profesional.

Inisiatif itu dijangka akan melengkapkan pengajaran dan pembelajaran sedia ada dengan memperkukuh pemahaman pelajar tentang AI daripada kedua-dua perspektif teori dan praktikal, di samping melengkapkan mereka dengan kemahiran yang relevan untuk tenaga kerja yang semakin dipacu oleh AI.

Ia juga akan memberikan pendedahan kepada ahli akademik UKM tentang pendekatan pengajaran dan bahan pembelajaran yang dibangunkan oleh ahli akademik MIT, menawarkan perspektif tambahan dalam pengajaran dan aplikasi AI merentas disiplin.

Sufian berkata ahli akademik UKM yang berminat akan berpeluang menyumbang kandungan pendidikan ke platform MIT Learn mengenai aplikasi AI dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Pada tahun kedua inisiatif ini, bahan pembelajaran yang disumbangkan oleh ahli akademik UKM, akan disediakan kepada pengguna dalam komuniti UKM.

“Pada tahun ketiga, MIT Open Learning akan menilai dan memilih bahan pembelajaran yang dibangunkan oleh UKM, yang sesuai untuk potensi perkongsian dengan pengguna Universal AI di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Naib Provos MIT untuk Pembelajaran Terbuka Prof Dimitris Bertsimas berkata kerjasama itu, mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan pendidikan AI praktikal boleh diakses melalui kelayakan mikro, boleh susun MIT Open Learning.

Beliau berkata inisiatif itu, akan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan keyakinan untuk mengaplikasikan AI secara bertanggungjawab, merentasi pelbagai disiplin sepanjang kerjaya masa depan mereka, di samping memperkasakan fakulti dan kakitangan untuk mengintegrasikan AI ke dalam pengalaman pembelajaran di kampus.

-- BERNAMA