Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini selepas niaga hadapan getah serantau menunjukkan pengukuhan yang menyokong sentimen tetapi telah diimbangi oleh permintaan yang lemah daripada sektor pembuatan tayar China, menurut seorang peniaga.
Peniaga itu berkata sentimen disokong oleh kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat dan kebimbangan terhadap pengeluaran yang lebih rendah daripada negara-negara pengeluar getah utama.
“Bagaimanapun, keuntungan dihadkan oleh permintaan kurang bermaya dari China, yang mana pengeluaran tayar kekal di bawah paras tahun sebelumnya walaupun kilang telah beroperasi semula selepas cuti Hari Kebangsaan, mencerminkan pemulihan perlahan dalam sektor tayar,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata niaga hadapan getah Jepun melonjak pada Khamis susulan kebimbangan mengenai penurunan dalam negara-negara pengeluar utama di Asia Tenggara, mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan dan sokongan harga. .
“Pada masa yang sama, harga minyak mentah naik di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, manakala inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) susut sebanyak 3.06 juta tong kepada 412.5 juta tong, menyokong permintaan untuk getah asli sebagai alternatif kepada getah sintetik,” katanya.
Setakat ini, niaga hadapan minyak mentah Brent telah menokok 3.12 peratus kepada US$3.12.3 peratus.
Sementara itu, pengeluaran tayar getah China jatuh 3.3 peratus dari tahun ke tahun kepada 100.85 juta unit pada September, manakala pemulihan yang perlahan dalam aktiviti kilang serta penyusunan semula yang lembap terus menjejaskan sentimen pasaran, tambahnya.
Pada 3 petang, harga SMR 20 Lembaga Getah Malaysia turun 2.5 sen kepada 1,034.5 sen sekilogram, manakala lateks bertambah sebanyak tiga sen kepada 794.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA