KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) terus komited memperluas akses pasaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kecil dan sederhana (IKS) serta usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
MYDIN dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan MYDIN dalam Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bertujuan memperluas pemasaran produk tempatan.
Pengarah Urusan MYDIN Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata akses pasaran merupakan antara faktor penting bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan jualan dan mengembangkan perniagaan secara mampan, selain menghasilkan produk berkualiti dan memahami keperluan pengguna.
“Bukan mudah untuk usahawan kecil mengembangkan perniagaan. Ada yang mempunyai produk berkualiti dan berpotensi, namun memerlukan peluang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 16 usahawan daripada NS Choice dan Halal Kotej Go Global Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan turut menyertai program itu bagi mengetengahkan produk tempatan, manakala kerjasama dengan Selangor Youth Community membuka ruang penyertaan tujuh perniagaan golongan OKU.
Dalam pada itu, MYDIN turut menyumbang baucar tunai RM500 kepada setiap usahawan OKU yang terlibat.
Ameer Ali berkata golongan OKU bukan sekadar memerlukan bantuan, tetapi juga peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Dengan akses pasaran dan sokongan yang bersesuaian, mereka berupaya membangunkan perniagaan serta mencapai kehidupan yang lebih berdikari,” katanya.
Karnival jualan sempena Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal berlangsung hingga 25 Okt ini bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan produk tempatan serta menyokong usahawan yang mengambil bahagian.
-- BERNAMA