Am 22/10/2026 04:06 PM

Mega Symphony Lonjak Imej JPJ, Setanding Pancaragam Agensi Beruniform Utama Negara

Oleh Syed Muhammad Zahid Makbul Wafa Syed Mohd Mumtaz Wafa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:

Terpaksa menyewa alat muzik, kalaupun tidak meminjam daripada agensi lain setiap kali perlu mengadakan latihan, menjadi antara memori Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di awal penubuhan pasukan pancaragamnya Mega Symphony, kira-kira sembilan tahun lalu.

Pun begitu, di sebalik keadaan serba kekurangan itu, mereka tidak patah semangat dan kini muncul sebagai pasukan pancaragam yang disegani dengan keunikan tersendiri kerana lebih cenderung mempersembahkan lagu-lagu pop yang dekat dengan rakyat. 

Berkongsi perjalanan Mega Symphony dengan Bernama, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata pasukan itu ditubuhkan secara khusus di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia pada 2017.

vid-1

“Kami bermula dalam keadaan serba kekurangan dan kekangan alat muzik menjadi antara cabaran terbesar jabatan dalam merealisasikan impian memiliki pasukan pancaragam sendiri. Kami terpaksa menyewa dan meminjam daripada agensi lain yang sudah mempunyai pancaragam sendiri,” dedahnya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

 

BERASAL DARIPADA KPI

Bercerita lanjut, Muhammad Kifli menjelaskan idea penubuhan pancaragam sendiri itu dicetuskan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim.

“Pada (November) 2016, beliau menghadiri majlis  penutupan kursus asas JPJ (di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Tiang Dua, Ayer Molek, Melaka) apabila beliau menyedari perarakan masuk pelatih ke dalam majlis diiringi oleh pasukan pancaragam agensi luar yang kami sewa.

Maju Johor
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan pada sesi temu bual eksklusif bersama BERNAMA.

“Beliau kemudian memaklumkan ingin melihat pasukan pancaragam JPJ sendiri mengiringi majlis tamat latihan yang berikutnya (Mei 2017), dan menjadikan sasaran itu sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya,” dedah Muhammad Kifli.

Sedar berdepan tugas berat, beliau bagaimanapun tidak menyangka perlu menggunakan taktik “risikan”, bagi mencari ahli pasukan yang berpotensi.

“Langkah pertama yang saya ambil ialah susun (himpun) anggota baharu dan bertanya siapa dalam kalangan mereka mahu menyertai pasukan pancaragam. Hanya tiga orang saja yang angkat tangan,” imbaunya. 

Dari segi teknikal dalam dunia muzik perbarisan, sebuah pancaragam bergerak memerlukan sekurang-kurangnya 30 ahli bagi memastikan keseimbangan akustik dan bunyi dengan seksyen alat muzik yang seimbang, agar bunyi dapat dihasilkan secara harmoni dan cukup kuat di kawasan terbuka. 

Di sebalik hanya tiga tangan yang diangkat itu, Muhammad Kifli percaya masih ada dalam kalangan anggota JPJ yang mempunyai bakat terpendam; kalaupun tidak sengaja “memendam bakat”;  mendorong beliau memulakan langkah seterusnya - “soal siasat” dan “paksa rela”.

 

STRATEGI “PAKSA RELA” DAN CETUSAN BAKAT

"Disebabkan kita perlukan 30 orang, saya terpaksa berjumpa seorang demi seorang peserta latihan. Saya tanya kemahiran muzik apa yang mereka ada. Ada yang boleh main gitar, piano dan dram… mereka ini sekurang-kurangnya ada asas muzik," katanya.

Namun jumlah ahli masih belum mencukupi. Mahu tidak mahu, Muhammad Kifli terpaksa menjalankan risikan dengan “mengorek” latar belakang setiap anggota.

“Saya tanya jika ada yang pernah main kompang, atau tiup seruling dan serunai masa sekolah dulu,” ujarnya. Usaha itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengenal pasti 35 orang untuk tapisan akhir.

“Daripada jumlah itu, hanya tiga orang sahaja yang benar-benar ada pengetahuan asas bermain peralatan muzik pancaragam,” katanya, menambah kesemua mereka dikenal pasti daripada  JPJ Cawangan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

 

KEAJAIBAN TIGA BULAN DAN SISTEM SOKONGAN

Walaupun berdepan tugas yang kian getir, Muhammad Kifli cekalkan diri untuk membentuk sebuah pasukan pancaragam yang dapat berfungsi menjelang majlis tamat latihan seterusnya.

Komitmen luar biasa barisan jurulatih khas yang dilantik serta keazaman tinggi ahli pasukan mencipta keajaiban kerana, dalam tempoh tiga bulan selepas dihimpunkan,  pasukan yang dahulunya sekadar “pemain kompang majlis kahwin keluarga” berjaya digilap menjadi sebuah pasukan pancaragam rasmi yang mantap. Mereka berjaya mengiringi perarakan Majlis Tamat Latihan JPJ pada Mei 2017, sekali gus memenuhi KPI berat yang disasarkan.

Maju Johor
Pasukan Pancaragam Mega Symphony Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bergambar kenangan selepas selesai mengiringi perarakan Majlis Taman Latihan JPJ di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Jalan Tiang Dua Ayer Molek, Melaka baru-baru ini. Pasukan ini ditubuhkan secara khusus di Akademi tersebut pada 2017.

Mengulas pengurusan keanggotaan, Muhammad Kifli berkata cabaran utama bertambah rumit memandangkan kesemua mereka bukanlah ahli pancaragam tetap, sebaliknya mempunyai tugas hakiki yang perlu diutamakan.

Justeru, bagi mengelakkan kelompongan sekiranya tugasan hakiki tidak dapat ditinggalkan, sistem keanggotaan simpanan diwujudkan. Pada masa ini, dipastikan ada 10 ahli simpanan. 

“Cabaran paling besar juga melibatkan ahli wanita. Apabila mereka berkahwin dan hamil, tiga bulan sebelum bersalin mereka sudah tidak boleh menyertai pasukan pancaragam, diikuti cuti bersalin selama tiga bulan. Di sinilah pentingnya persediaan ahli backup yang kami sediakan untuk menggantikan peserta berkenaan," jelas beliau.

Pada masa ini pancaragam itu mempunyai 36 ahli penuh dengan 11 orang adalah wanita.

 

JARAK BUKAN PENGHALANG

Hingga kini, Mega Symphony terus bergerak aktif biarpun berdepan cabaran logistik yang rumit  kerana keanggotaan pasukan berkenaan terdiri daripada pegawai dan anggota JPJ yang bertugas di merata tempat di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Disebabkan faktor geografi, kesemua ahli pasukan ini tidak dapat berlatih bersama-sama setiap hari sebaliknya cuma dikumpulkan dalam tempoh tertentu, iaitu kebiasaannya dua minggu atau seminggu sebelum sesuatu acara atau pertandingan berlangsung.

"Kekangan yang kami hadapi adalah dari segi masa, lokasi dan tempat untuk latihan. Namun, disebabkan anggota kami mempunyai minat dan keyakinan yang sangat tinggi, tempoh latihan singkat antara tujuh hingga 14 hari itu sudah cukup untuk mereka serap dan faham," kata beliau.

 

LONJAKAN IMEJ DAN KEHORMATAN NEGARA

Bagi Muhammad Kifli, penubuhan Mega Symphony bukan sekadar untuk hiburan, tetapi merupakan satu entiti penting bagi mempamerkan kesatuan, perpaduan dan identiti sebuah pasukan beruniform.

Langkah ini meletakkan JPJ sebaris dengan agensi penguat kuasa  seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia yang telah mempunyai pasukan pancaragam lebih awal. 

Maju Johor
Sebahagian daripada pasukan pancaragam wanita Mega Symphony Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan latihan akhir sebelum mengiringi perarakan Majlis Taman Latihan JPJ di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Jalan Tiang Dua Ayer Molek, Melaka baru-baru ini.

Pencapaian tertinggi Mega Symphony adalah apabila mereka diberi penghormatan menyertai perarakan Hari Kebangsaan beberapa kali serta membuat persembahan di hadapan pembesar negara.

Selain pancaragam, JPJ turut menubuhkan pasukan bagpipe yang diberi penghormatan mengiringi tetamu kehormat dalam beberapa acara rasmi negara.

"Ini merupakan satu penghormatan dan mileage (pencapaian) yang sangat besar buat kami sebagai agensi penguat kuasa (sivil), yang mana kami juga berada setara dengan agensi-agensi penguat kuasa (pertahanan dan keselamatan) yang lain," katanya dengan nada bangga.

 

MISI MELAHIRKAN DUA PASUKAN HEBAT

Sebagai pengasas Mega Symphony, Muhammad Kifli menaruh harapan tinggi agar legasi kecemerlangan pasukan pancaragam itu terus dipertahan pada masa hadapan.

Malah, beliau berhasrat untuk melihat JPJ memiliki dua pasukan pancaragam yang ampuh pada masa akan datang melalui penubuhan satu lagi cawangan di bawah Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ.

Maju Johor
Pencapaian tertinggi Mega Symphony adalah apabila mereka diberi penghormatan menyertai perarakan Hari Kebangsaan beberapa kali serta membuat persembahan di hadapan pembesar negara.

Mengakhiri perbualan, Muhammad Kifli sempat menitipkan penghargaan yang cukup mendalam khusus buat kesemua perwira seni jabatan berkenaan yang telah membuktikan kemampuan luar biasa mereka.

"Ahli pancaragam pasukan Mega Symphony JPJ Malaysia, anda sememangnya insan-insan yang hebat yang mana orang lain tidak mampu buat seperti mana anda lakukan.

"Bayangkan dalam masa tiga bulan sahaja anda berlatih dengan membaca, belajar nota muzik, dan alhamdulillah, selepas tiga bulan tersebut anda dapat memberikan satu persembahan yang sangat cemerlang. Syabas dan tahniah kepada semua ahli pasukan Mega Symphony JPJ Malaysia," katanya.