TANGKAK, 21 Okt (Bernama) -- Pusat Kecemerlangan Teknikal Dialisis MARA (MARA DTEC) yang ditubuhkan di TVETMARA Ledang bakal menjadi platform Kilang Pengajaran atau “Teaching Factory” bagi melahirkan pakar tempatan dalam bidang teknologi bioperubatan, khususnya membabitkan kepakaran dialisis.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penubuhan pusat bernilai RM1.5 juta hasil kerjasama strategik pihak industri menyediakan ekosistem pembelajaran sebenar bagi memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata pelajar di TVETMARA Ledang kini dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih baik menerusi fasiliti moden, peralatan canggih serta pemindahan kepakaran teknikal secara langsung di premis seluas 3,409 kaki persegi yang mampu menempatkan hingga 14 mesin hemodialisis.
"Pusat yang mula beroperasi sejak 17 Ogos lepas ini turut memberi manfaat terus kepada penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan dialisis pada kadar caj minimum.
"Pada masa sama, pelajar dan tenaga pengajar berpeluang menimba pengalaman industri secara langsung merangkumi aspek operasi, penyelenggaraan dan pengurusan teknologi perubatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MARA DTEC di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata penubuhan MARA DTEC amat tepat pada waktunya selaras dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja mahir, sekali gus memperkasakan ekosistem penyelidikan, inovasi bioperubatan serta latihan berasaskan kehendak industri.
"Hingga September 2026, TVETMARA Ledang telah melahirkan 2,829 graduan dengan kadar kebolehpasaran mencapai 97.1 peratus bagi tempoh antara 2023 hingga 2026," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan Hospital MARA beliau memaklumkan pihaknya menetapkan tempoh 180 hari bagi mengadakan siri perbincangan mendalam bersama pakar perubatan.
Beliau berkata, MARA kini sudah mempunyai rangkaian farmasi serta klinik perubatan dan pergigian, manakala penubuhan hospital berkenaan kelak akan melengkapkan keseluruhan ekosistem kesihatan agensi itu.
"Saya ingin memastikan cadangan mewujudkan Hospital MARA ini bukan sekadar imaginasi kosong. Sehubungan itu, seluruh warga agensi telah diarahkan untuk bersiap sedia bagi memulakan fasa perancangan operasi," katanya.
-- BERNAMA