KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Agrobank menyalurkan RM70 juta menerusi kemudahan pembiayaan padi setakat 20 Okt lepas bagi membantu pesawah memenuhi keperluan modal pusingan sepanjang musim penanaman, sekali gus menyokong pengeluaran padi dan keterjaminan makanan negara.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kemudahan yang telah membantu hampir 10,000 pesawah di seluruh negara itu merupakan sebahagian daripada usaha bank berkenaan menyediakan akses kepada pembiayaan pada kadar berpatutan.
Beliau berkata kemudahan pembiayaan khusus itu juga dapat menyokong kelangsungan aktiviti penanaman, melindungi sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan pesawah serta kebergantungan kepada sumber pembiayaan tidak formal.
“Sokongan kepada pesawah perlu merangkumi keperluan modal dan perlindungan terhadap risiko yang boleh menjejaskan hasil tanaman serta pendapatan mereka.
“Pembiayaan yang bersesuaian dan perlindungan takaful dapat membantu pesawah mengurus risiko, meneruskan aktiviti penanaman selepas mengalami kerugian serta membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, pesawah boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga enam bulan untuk setiap musim penanaman, dengan kadar keuntungan antara satu peratus hingga 3.25 peratus semusim.
Kemudahan yang ditawarkan bagi tempoh sehingga lima tahun itu boleh diperbaharui, tertakluk pada penilaian, kelulusan serta terma dan syarat yang ditetapkan, bagi membiayai pembelian input pertanian dan operasi sepanjang musim penanaman.
Pada 2025, Agrobank menyalurkan pembiayaan padi berjumlah RM111.63 juta.
Selain pembiayaan, Agrobank turut menawarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam serta sehingga RM1,500 sehektar bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
Setakat ini, manfaat perlindungan berjumlah RM51,956,633 telah disalurkan menerusi STTP kepada pesawah di seluruh negara bagi membantu mengurangkan kesan kerugian tanaman.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank percaya daya tahan sektor padi bermula dengan pesawah yang mempunyai akses kepada modal, perlindungan dan sokongan bersesuaian.
Justeru, Agrobank akan terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dalam memperkukuh kesejahteraan pesawah dan kelangsungan industri padi negara, katanya.
-- BERNAMA