Am 20/10/2026 08:42 PM

JKPK Kesihatan Serah Memorandum Isu Jerebu Kepada Kedutaan Indonesia Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JKPK Kesihatan Serah Memorandum Isu Jerebu Kepada Kedutaan Indonesia Esok
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) Parlimen akan menghantar memorandum berkaitan masalah jerebu rentas sempadan kepada Kedutaan Indonesia esok.

Pengerusinya Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkata isu jerebu menjadi masalah kepada negara dalam pelbagai aspek seperti alam sekitar, kesihatan awam, keselamatan rakyat, ekonomi negara serta hubungan diplomatik antara negara jiran.

"Insya-Allah esok pagi JKPK dan anggota akan serah memorandum kepada Kedutaan Indonesia mengenai masalah jerebu ini," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat tempatan yang didakwa terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata ini susulan laporan terbaharu Greenpeace yang menamakan 20 syarikat dipercayai terlibat, termasuk sebuah syarikat perladangan terkemuka negara, menerusi anak syarikatnya yang berdaftar di negara jiran itu.

"KLCC sekarang sudah jadi KL Cannot See kerana jerebu. Dalam perbahasan Kamar Khas sebelum ini, pihak kementerian memaklumkan tiada maklumat mengenai penglibatan syarikat tempatan.

"Namun menerusi laporan Greenpeace ini, terbukti ada anak syarikat tempatan yang terlibat. Kita harap kementerian tidak berpeluk tubuh dan mengambil langkah susulan yang serius," katanya.

Justeru, Khoo mencadangkan agar Malaysia mencontohi tindakan tegas kerajaan Singapura mengeluarkan notis amaran kepada 10 syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden pembakaran hutan di Indonesia.

Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pula menggesa kerajaan menyediakan peruntukan khusus bagi pelaksanaan kaedah tangkap, mandul lepas atau Trap-Neuter-Release (TNR) secara jangka panjang untuk menangani isu haiwan terbiar di seluruh negara, sekali gus memutuskan kitaran konflik antara orang awam, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pencinta haiwan susulan operasi tangkapan.

"Apabila kita tiada sistem jangka panjang, setiap operasi tangkapan berisiko menjadi konflik sama ada antara pencinta haiwan dengan pihak berkuasa mahupun jiran sesama jiran. Akhirnya tiada siapa yang menang. Haiwan menderita, petugas dikecam dan kepercayaan rakyat pula terhakis," katanya.

Menurut Wong, program TNR secara berterusan mampu mengurangkan populasi haiwan terbiar secara beransur-ansur dan beretika tanpa perlu menunggu tragedi berulang.

Isu perkhidmatan doktor udara (FDS) turut dibangkitkan semasa perbahasan, dengan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong), meminta kerajaan menyediakan perlindungan insurans yang menyeluruh termasuk pampasan kematian dan hilang upaya kekal serta kebajikan petugas kesihatan yang terlibat dalam FDS.

“Saya menyambut baik peningkatan insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara (FDS) daripada RM30 kepada RM100. Namun, mengambil kira risiko petugas kesihatan di pedalaman serta iktibar daripada insiden nahas helikopter FDS baru-baru ini, kerajaan perlu memastikan perlindungan menyeluruh,” katanya.

Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) pula membangkitkan isu 36 peratus atau 382 daripada 1,055 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan tetap di Sabah dan Sarawak tahun ini tidak melaporkan diri, dan mencadangkan kerajaan menyemak semula kadar Bayaran Imbuhan Wilayah (BIW) yang kini ditetapkan pada RM360 sebulan.

“BIW perlu dikembalikan kepada sistem pengiraan berdasarkan peratusan gaji seperti sebelum ini atau kadar minimum yang munasabah ditetapkan bagi pegawai yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, kuota khas sebanyak 30 peratus bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak dalam bidang perubatan di universiti awam perlu ditetapkan,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA