GENTING HIGHLANDS, 20 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara entiti korporat dengan bakat tempatan penting dalam memacu pertumbuhan sektor kreatif Malaysia dan mengetengahkan harta intelek (IP) tempatan kepada khalayak yang lebih luas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerjasama strategik sedemikian antara entiti korporat dengan pasukan kreatif tempatan membolehkan penggiat seni, juruanimasi, penghibur dan tenaga produksi tempatan menonjolkan kemahiran mereka di pentas yang lebih besar.
“Biasanya, apabila kita bercakap mengenai animasi dan kandungan kreatif tempatan, kita membayangkan sesuatu yang ditonton di televisyen, pawagam atau telefon bimbit.
“Hari ini, kita berpeluang untuk melangkah masuk ke sesebuah cerita, bertemu dengan watak-wataknya dan merasai sendiri dunia yang telah dibayangkan oleh pencipta tempatan kita,” katanya.
Bercakap pada sidang akhbar dan pratonton media eksklusif The Haunted Highlands 2026 di Pavilion Hall, Taman Tema Dalaman Skytropolis di sini hari ini, Teo turut memuji Resorts World Genting kerana melabur dalam bakat Malaysia.
“Bagi membolehkan industri kreatif kita berkembang, kita memerlukan syarikat perniagaan yang yakin dengan bakat Malaysia dan sanggup memberikan ruang untuk kisah-kisah negara ini terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata usaha mentransformasi harta intelek (IP) animasi kepada tarikan fizikal membuktikan bahawa sektor kreatif dan pelancongan boleh saling memperkukuh antara satu sama lain.
“Watak animasi yang mula-mula dikenali penonton menerusi skrin boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman percutian sesebuah keluarga.
“Pengunjung mungkin mengunjungi tarikan itu terlebih dahulu sebelum pulang dan mencari siri animasi berkenaan untuk ditonton,” katanya.
Teo berkata hubungan sedemikian membantu industri kreatif dan pelancongan Malaysia berkembang bersama-sama.
Mengulangi komitmen kerajaan untuk membangunkan Ekonomi Jingga negara, beliau menggariskan beberapa peruntukan utama di bawah Belanjawan 2027 yang bertujuan memacu pertumbuhan merentasi sektor kreatif.
“Ini termasuk peruntukan lebih RM130 juta bagi menyokong industri kreatif, menyediakan insentif untuk penerbitan filem dan animasi, mengecualikan duti hiburan bagi tayangan filem tempatan serta persembahan teater di Wilayah Persekutuan mulai 2027 dan menyasarkan penghasilan 20 IP animasi baharu,” katanya.
Selain itu, Teo berkata agensi pembiayaan seperti MyCreative Ventures menyediakan sokongan kewangan melalui geran, pinjaman dan pelaburan ekuiti merentasi pelbagai cabang industri kreatif.
Beliau berkata produksi filem animasi tempatan yang layak juga boleh memanfaatkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Pemohon yang berjaya boleh menerima rebat tunai 30 peratus ke atas perbelanjaan produksi Malaysia yang layak (QMPE), dengan rebat tambahan hingga lima peratus bagi produksi yang memenuhi Ujian Budaya Malaysia, tertakluk pada terma dan syarat yang berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA