Am 20/10/2026 11:07 PM

KPKT Salur RM154 Juta Naik Taraf Tandas Awam Seluruh Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPKT Salur RM154 Juta Naik Taraf Tandas Awam Seluruh Negara
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) menyampaikan anugerah kategori rumah ibadat kepada Masjid Nurussalam Gerik, Perak pada Majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 26) di Pavillion Damansara Heights hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu (dua,kiri), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli (kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM154 juta telah disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2025 untuk menyelenggara, membaik pulih dan menaik taraf kemudahan tandas awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu membolehkan 1,529 tandas awam di bawah seliaan PBT di seluruh negara dinaik taraf setakat ini.

Beliau berkata KPKT akan meneruskan usaha berkenaan dengan menyalurkan peruntukan khas RM30 juta setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, menjadikan jumlah keseluruhan RM150 juta untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf tandas awam PBT dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, Nga berkata kerjasama KPKT dengan Kementerian Pendidikan turut menyaksikan 11,835 tandas sekolah di seluruh negara berjaya dinaik taraf, yang disifatkannya sebagai pencapaian terbesar dalam sejarah.

Beliau berkata penyediaan tandas awam yang bersih, menawan dan wangi (BMW) penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mencerminkan tahap ketamadunan dan imej negara, khususnya ketika Malaysia berusaha menarik lebih ramai pelancong asing.

“Tandas awam sebenarnya ialah kad panggilan bagi barisan depan imej sesebuah negara,” katanya ketika berucap pada Anugerah Tandas Terbaik Malaysia 2026 (TOTYA'26) anjuran KPKT di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.

Nga berkata Malaysia dijangka menerima 47 juta pelancong asing tahun ini, sekali gus menjadikan penyediaan kemudahan tandas awam yang bersih dan selesa antara aspek penting dalam menyokong sektor pelancongan negara.

Beliau berkata kesedaran terhadap kepentingan kebersihan tandas awam turut menunjukkan perkembangan positif apabila penyertaan TOTYA'26 meningkat kepada 849 tahun ini berbanding 345 pada tahun pertama penganjurannya, iaitu peningkatan lebih 200 peratus.

TOTYA’26 yang memasuki edisi keempat tahun ini mempertandingkan lapan kategori, iaitu sekolah, rumah ibadat, pusat beli-belah, stesen minyak, hotel, restoran, PBT serta tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). 

Antara pemenang TOTYA'26 ialah Masjid Nurussalam, Gerik, Perak bagi kategori rumah ibadat; Majlis Bandaraya Shah Alam menerusi tandas awam Tasik Barat, Seksyen 14, Shah Alam bagi kategori PBT; Iconic Marjorie Penang, Tribute Portfolio Hotel di Bayan Lepas bagi kategori hotel; Mamakim Wellness Kitchen Sdn Bhd di Desa Sri Hartamas bagi kategori restoran.

Kategori sekolah dimenangi Sekolah Kebangsaan Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu, Petronas Presint 18, Putrajaya (stesen minyak); Sunway Square Mall, Subang (pusat beli-belah); serta kawasan R&R Seremban arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan yang dikendalikan PLUS Malaysia Berhad, dengan pemenang bagi setiap kategori menerima wang tunai RM20,000, piala dan sijil pengiktirafan.

Selain itu, Nga berkata KPKT turut akan memperkenalkan kategori baharu pada TOTYA tahun hadapan, iaitu Tandas Terbaik bagi institusi pengajian tinggi, universiti dan maktab, bagi menggalakkan lebih banyak institusi pendidikan mengutamakan kebersihan dan penyelenggaraan tandas.

-- BERNAMA