Am 20/10/2026 10:56 PM

NGC Energy Sasar Pasaran Baharu Susulan Perubahan Dalam Pemilikan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
NGC Energy Sasar Pasaran Baharu Susulan Perubahan Dalam Pemilikan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- NGC Energy Sdn Bhd berhasrat mengembangkan perniagaannya ke pasaran baharu dan memperkukuh kedudukannya dalam sektor gas petroleum cecair (LPG) Malaysia susulan perubahan pemilikan dalam Perangsang Oil & Gas Sdn Bhd (POGSB), salah satu pemegang sahamnya.

Perubahan pemilikan dalam POGSB baru-baru ini, yang sebelum ini dimiliki oleh Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, telah berlaku melalui satu pengambilalihan melibatkan Manjaran Sdn Bhd dan kumpulan pemegang saham baharu yang dikaitkan dengan Rasmadi Corporation dan Mutiara Perlis.

Perubahan itu tidak menjejaskan pegangan 40 peratus POGSB dalam NGC Energy, tetapi memindahkan pengurusan dan pemilikan muktamadnya kepada pembeli baharu, manakala National Gas Company SAOG yang berpangkalan di Oman memiliki baki 60 peratus kepentingan.

Ketua Pegawai Eksekutif NGC Energy Juliana Kamaruddin berkata kerjasama itu akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pemegang saham, khususnya dalam bidang logistik, infrastruktur dan capaian pasaran untuk menyokong pertumbuhan syarikat serta memperkukuh kedudukannya sebagai pemain LPG kedua terbesar di Malaysia.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan pemegang saham baharu untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu. Mereka juga berminat untuk mengembangkan perniagaan di peringkat serantau dengan memanfaatkan projek-projek infrastruktur yang mereka miliki.

“Pada masa ini, pemegang saham baharu mempunyai kemudahan di Perlis yang bersempadan dengan Thailand, selain mempunyai kelebihan dari segi hubungan rangkaian kereta api,” katanya kepada pemberita selepas acara “NGC Energy: A New Chapter” di sini hari ini.

Mengenai jaminan bekalan LPG, Juliana berkata situasi geopolitik yang berubah-ubah di Asia Barat telah mendedahkan kerentanan negara-negara yang tidak mempunyai infrastruktur mencukupi dan pengaturan bekalan yang boleh dipercayai.

“Perkara ini amat kritikal pada masa sekarang bagi memastikan kita kekal berdaya tahan dan mampu menjamin kelangsungan hidup rakyat di Malaysia,” tambah beliau.

Kira-kira 80 peratus pasaran syarikat itu terdiri daripada segmen domestik, seperti pelanggan komersial dan perindustrian termasuk pusat beli-belah, pengendali sektor hospitaliti, hospital, hotel dan kilang, selain membekalkan tong LPG untuk kegunaan isi rumah di bawah jenama Mira Gas.

Pada masa yang sama, Pengerusi POGSB Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata Perlis Seaport akan memainkan peranan penting dalam rancangan pertumbuhan NGC Energy, khususnya bagi menyokong import LPG dan memperluas capaian pasarannya.

Sementara itu, Pengerusi National Gas Company Sheikh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy berkata Malaysia wajar mempertimbangkan penubuhan rizab strategik LPG bagi memperkukuh keselamatan tenaga, melindungi negara daripada gangguan bekalan dan memastikan bekalan berterusan ketika berdepan ketidaktentuan.

Beliau berkata NGC Energy bersedia menyumbang ke arah merealisasikan hasrat itu melalui kerjasama dengan kerajaan dan rakan industri untuk memperkukuh rantaian bekalan LPG Malaysia.

“Kami berpendapat kerajaan Malaysia wajar mengkaji semula formula penetapan harga di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) yang terpakai kepada pemain LPG domestik. Formula itu perlu mencerminkan realiti persekitaran operasi semasa dan mengimbangi secara adil kemampanan pembekal dengan kemampuan pengguna di Malaysia untuk mendapatkan LPG,” tambahnya.

Rasmadi Corporation ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan yang disokong oleh Manjaran Sdn Bhd dan Berjaya Property Bhd, menghimpunkan kepentingan dan rangkaian perniagaan dalam pelbagai sektor.

-- BERNAMA