KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Sistem Depositori Sekuriti Tanpa Skrip+ (SSDS+), iaitu platform generasi baharu untuk terbitan, depositori dan penyimpanan bon dan sukuk token.
Menurut bank pusat itu dalam satu kenyataan, SSDS+ dibangunkan secara dalaman menggunakan teknologi awan dan lejar teragih iaitu berlandaskan platform SSDS sedia ada iaitu depositori pusat sekuriti bagi pasaran kewangan borong.
BNM menjelaskan SSDS+ berupaya memudahkan transaksi, menawarkan fleksibiliti yang lebih baik dalam reka bentuk instrumen kewangan dan memperluas akses kepada peluang pelaburan.
“Selain terbitan borong, SSDS+ juga bersedia untuk menyokong terbitan bon kerajaan dan bon runcit token.
“SSDS+ diintegrasikan dengan RENTAS+ bagi menguruskan pemindahan sekuriti token dan rekod pemilikan sekuriti digital, selain membolehkan perkhidmatan pembayaran dan penyelesaian yang selamat dan tersedia sepanjang masa melalui RENTAS+, sekali gus memudahkan pembayaran pembelian bon menggunakan wang bank pusat," menurut BNM.
Sementara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pelancaran SSDS+ menandakan suatu pencapaian penting dalam usaha memodenkan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia.
“RENTAS+ dan SSDS+ secara bersama menyediakan asas yang lebih selamat, lebih pantas, lebih fleksibel dan bercirikan digital untuk kes penggunaan baharu bagi sekuriti serta pembayaran.
“Kedua-dua platform ini akan menyokong inovasi dan menyumbang kepada pasaran kewangan yang lebih cekap dan responsif,” katanya.
-- BERNAMA