JOHOR BAHRU, 20 Okt (Bernama) -- Skuad hoki remaja lelaki negara mencatat kemenangan 4-2 ke atas Jepun pada aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Johor, di sini malam ini.
Kedua-dua pasukan memperoleh beberapa peluang dalam aksi suku pertama, namun gagal menghasilkan gol sebelum Jepun berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-19 menerusi jaringan padang Matsuki Mori.
Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin kemudian bangkit menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan, Muhammad Hafiezudin Mohd Ali tenang menyempurnakan penalti strok pada minit ke-27 selepas penjaga gol Jepun, Kazato Baba melakukan kekasaran terhadap pemain tengah Afferul Syah Ahmad Azuan Syahrill.
Bagaimanapun, Jepun yang dibimbing Yoshihiro Anai sekali lagi mendahului perlawanan menerusi jaringan padang Rintaro Sakai, dua minit sebelum tamat suku ketiga.
Bersambung suku keempat, skuad hoki remaja negara melakukan serangan bertali arus sebelum Afferul Syah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti.
Pasukan pelawat terus berputih mata apabila T. Naaveenesh Panicker menjaringkan gol padang pada minit ke-56, sebelum pemain pertahanan Dheeressh Gunaseelan menjaringkan gol keempat untuk pasukan negara menerusi pukulan sudut penalti tidak lama selepas itu.
Malaysia kini melonjak ke tangga kedua, di belakang pendahulu Pakistan, dengan kedua-dua pasukan berkongsi enam mata.
Jepun pula menghuni tangga ketiga, berkongsi tiga mata bersama Kanada di kedudukan keempat, manakala China berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Dalam aksi pembukaan Ahad lepas, skuad Young Tigers cemerlang menewaskan China 3-0.
-- BERNAMA