GEORGE TOWN, 20 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam agenda antirasuah dan pembudayaan integriti, khususnya dalam institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, latihan kepakaran bersama, pelaksanaan penyelidikan saintifik serta perkongsian data empirikal bagi menganalisis trend rasuah dan keberkesanan tadbir urus.
Beliau berkata kolaborasi antara agensi penguatkuasaan dan IPT terkemuka negara itu turut membuka lembaran baharu dalam pembangunan modul akademik, kajian penyelidikan serta pelaksanaan program kesedaran berimpak tinggi.
“SPRM melihat kerjasama ini sebagai platform terbaik untuk menyatukan kepakaran akademik dan kekuatan penguatkuasaan bagi melahirkan ekosistem organisasi yang telus.
“MoU ini bukan sekadar simbolik jalinan kerjasama korporat, sebaliknya manifestasi dan komitmen jitu kedua-dua pihak dalam membina benteng pertahanan antirasuah yang lebih utuh,” katanya pada Majlis Graduasi Program Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) 2026 serta Majlis Penandatanganan MoU antara USM dan SPRM di sini hari ini.
Azmi dan Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Ahmad Nizam Ismail mewakili SPRM menandatangani MoU itu manakala USM diwakili Naib Canselor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed serta Penasihat Undang-Undang USM Datuk Dr Khairul Anuar Che Azmi.
Majlis disaksikan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM Prof Dr Hasliza Abdul Halim dan Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Dalam pada itu, Azmi mengingatkan graduan bahawa sijil profesional yang diperoleh merupakan amanah besar serta berperanan sebagai “senjata” dan “perisai” dalam usaha memutuskan rantaian salah laku, manakala usaha memerangi rasuah memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat yang melibatkan peranan aktif setiap institusi.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata Program CPIAM berupaya membina dan memperkukuh integriti dalam sesebuah organisasi secara praktikal.
"Budaya integriti yang bermula di kampus mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik, malah berani menolak rasuah. Teruskan usaha menyumbang kepada tadbir urus dan pembudayaan integriti di Malaysia," katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 44 graduan menerima sijil profesional CPIAM 2026 menerusi program pensijilan siri keenam yang dibangunkan Pusat Pengajian Pengurusan USM dengan kerjasama ACeIO sejak 2023 dan setakat ini telah melahirkan lebih 150 profesional kompeten daripada agensi awam dan swasta di seluruh negara.
-- BERNAMA