Am 20/10/2026 09:56 PM

JPW Perkasa Ekonomi, Kepimpinan Wanita Melalui Belanjawan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JPW Perkasa Ekonomi, Kepimpinan Wanita Melalui Belanjawan 2027
Kredit: JPW

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan mempergiat pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pemerkasaan ekonomi, keselamatan, kesejahteraan serta kepimpinan wanita di negara ini.

Ketua Pengarah JPW Hanani Sapit berkata antara tumpuan utama ialah memperluas peluang penjanaan pendapatan wanita menerusi Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan (KIRANA), memperkukuh penyertaan wanita dalam kepimpinan serta meningkatkan perlindungan dan sokongan kepada golongan wanita, termasuk ibu tunggal.

Beliau berkata Program KIRANA akan diperluas melalui pemberian geran berbentuk peralatan dan latihan keusahawanan, dengan lebih 400 wanita di seluruh negara disasarkan menyertainya tahun depan.

“Bagi melaksanakan program ini, keperluan peruntukan sebanyak RM1.5 juta dikenal pasti untuk melatih serta memberi geran permulaan bagi penyediaan peralatan untuk menyokong peserta memulakan atau memantapkan penjanaan pendapatan dalam perniagaan yang diusahakan,” katanya kepada Bernama.

Hanani berkata program itu turut melatih kumpulan sasaran untuk menerokai platform digital sebagai usaha mencapai pasaran yang lebih luas.

“Program KIRANA akan terus dilaksanakan sebagai program berstruktur bermula daripada latihan komprehensif sehingga pemantauan berterusan bagi memastikan kumpulan sasaran dapat mencapai pendapatan yang lebih mampan,” katanya.

Dari segi kepimpinan, Hanani berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melaksanakan inisiatif baharu ke arah memperkasa dan membentuk wanita menjadi pemimpin yang berdaya saing, berkeyakinan, berkebolehan dan mempunyai kemahiran bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan, terutama dalam bidang politik.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pelaksanaan program Inklusif Wanita yang menyasarkan pewujudan kumpulan bakat sebagai barisan pelapis dalam bidang kepimpinan diharapkan mampu menjadi penggerak ke arah peningkatan penglibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi.

Selain itu, Hanani berkata kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) yang dijangka memberi manfaat kepada 2,000 ibu tunggal.

Beliau berkata program itu memberikan tumpuan kepada pembangunan diri menerusi tiga modul utama, iaitu kemahiran perundangan, pengurusan kewangan dan pembangunan potensi.

KasihnITa memberi tumpuan kepada pemerkasaan ibu tunggal secara holistik merangkumi aspek ekonomi, pengetahuan berkaitan hak dan perundangan, pembangunan diri serta kesejahteraan psikososial bertujuan membantu mereka meningkatkan keupayaan diri dan keluarga ke arah kemandirian yang lebih mampan.

“Pada masa sama, program ini juga menyediakan bantuan guaman bagi urusan dokumentasi tuntutan mahkamah berkaitan perceraian dan nafkah anak di samping menyokong kemandirian ibu tunggal,” katanya, sambil menambah pelaksanaan program itu dirancang berdasarkan keperluan kumpulan sasar dan peruntukan yang diluluskan dengan berfokuskan kepada komuniti di lokaliti yang dikenal pasti.

Dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan wanita, Hanani berkata KPWKM menerusi JPW akan terus memantapkan advokasi dan intervensi terhadap keselamatan serta kesejahteraan wanita menerusi Program Santun Kasih Pemandiri (SARI) bagi memperkasakan advokasi dan kempen pencegahan keganasan terhadap wanita menerusi gabungan Aku Wanita@KRT dan Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW).

JPW melalui Program Literasi Hak (IRIS) dan Kesejahteraan Psikologi (MATAHARI) pula menyediakan latihan literasi undang-undang dan sokongan emosi secara fizikal menerusi program KasihnITa serta sesi interaktif dalam talian menerusi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN).

Selain itu, usaha memperkasa keselamatan wanita turut merangkumi sokongan psikososial menerusi Skuad WAJA, saluran rujukan dan intervensi melalui Perantara Rujukan dan Intervensi (PRISMAnita) serta Kempen Advokasi Anti-Gangguan Seksual (AAGS) di institusi pengajian tinggi, pejabat awam dan swasta serta komuniti tempatan.

Menerusi Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.355 bilion kepada KPWKM untuk memperkukuh perlindungan sosial dan pemerkasaan ekonomi wanita.

Kerajaan turut menyediakan RM200 juta melalui Geran Sejahtera MADANI bagi membekalkan peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita.

-- BERNAMA