LABUAN, 17 Okt (Bernama) -- Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih 31 anugerah pada Peringkat Akhir PEREKA 2026, sekali gus membuktikan keupayaan fakulti itu memperkasakan penyelidikan dan inovasi, khususnya dalam bidang teknologi kewangan, transformasi digital, kewangan Islam dan pembangunan komuniti.
Fakulti berkenaan merangkul lima pingat emas, 19 pingat perak dan tujuh pingat gangsa dalam pertandingan yang berlangsung bersempena Festival Borneo IDEAS 2026 di UMS di sini pada 13-14 Okt lepas
Dekan FKAL, Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata pencapaian itu, yang melibatkan 106 penyelidik dan ahli pasukan daripada tiga kontinjen, membuktikan komitmen fakulti berkenaan dalam menterjemahkan hasil penyelidikan akademik kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada sektor industri, institusi kewangan, usahawan dan komuniti setempat.
“Fokus kami adalah untuk memanfaatkan ilmu bagi menghasilkan penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada sektor industri, institusi kewangan, usahawan dan komuniti setempat.
“Kami amat berbangga kerana banyak inovasi ini berpotensi menyokong pembangunan Labuan sebagai hab kewangan dan pendidikan antarabangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Antara inovasi yang meraih pingat emas IHARAM GOLDVR, iaitu ekosistem pintar bagi ibadah umrah dan haji yang dibangunkan oleh Dr. Haneffa Muchlis Gazali, serta MASJIDFIN 1.0, sistem penilaian tadbir urus kewangan masjid hasil pembangunan Dr. Rio Erismen Armen.
Penerima pingat emas lain ialah Dr. Noor Hassanah Husin bagi penyelidikan mengenai transformasi digital dalam kalangan usahawan asnaf, Dr. Ooi Ai Yee bagi penyelidikan tadbir urus korporat dan Dr. Aminah Shari menerusi program pendidikan perdagangan saham berasaskan pengalaman.
Sebanyak 19 pingat perak pula diberikan bagi inovasi yang merangkumi bidang kewangan mampan, kecerdasan buatan (AI), literasi kewangan, keusahawanan dan pemerkasaan komuniti.
Antaranya ECOPAY-SABAH, inisiatif teknologi kewangan hijau oleh Dr. Mohd Ashari Bakri, serta MAQ-ESG Score, kerangka berasaskan AI bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Islam yang dibangunkan oleh Dr. Ahmad Aizuddin Hamzah.
Tujuh pingat gangsa pula termasuk inovasi dalam bidang pendanaan ramai, pengurusan kewangan isi rumah, literasi kewangan Islam dan pembelajaran interaktif.
Geoffrey berkata pencapaian itu turut menyerlahkan kepentingan kerjasama antara disiplin, dengan sumbangan warga akademik, pentadbiran, pelajar, alumni dan penyelidik luar turut memainkan peranan dalam kejayaan fakulti berkenaan.
Beliau berkata FKAL akan terus memperkukuh kerjasama antara universiti, industri dan kerajaan, menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan serta membangunkan inovasi yang menyokong ekosistem perkhidmatan kewangan dan pertumbuhan sosioekonomi Labuan.
Festival Borneo IDEAS 2026, yang berlangsung di bawah naungan Kementerian Pendidikan Tinggi, menghimpunkan penyelidik, pemain industri dan agensi kerajaan bagi menggalakkan inovasi, perkongsian ilmu serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
-- BERNAMA