Am 17/10/2026 08:44 PM

APM Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi MTL, Operasi PKO 24 Jam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
APM Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi MTL, Operasi PKO 24 Jam
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman

KLUANG, 17 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pengoperasian Pusat Kawalan Operasi (PKO) selama 24 jam bagi memastikan penyelarasan tindakan kecemasan dan bantuan bencana dapat dilaksanakan dengan segera.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman berkata langkah itu turut disokong dengan pemantapan sistem komunikasi serta koordinasi bersama agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada pelbagai peringkat bagi menghadapi risiko banjir, kepala air dan tanah runtuh.

Beliau berkata komunikasi antara zon termasuk selatan, timur dan tengah akan diperkemas bagi memastikan kerjasama yang berkesan, sekali gus membolehkan anggota dari zon lain digerakkan untuk membantu kawasan yang terjejas akibat bencana.

“Dengan adanya komunikasi yang baik antara zon, tambahan pegawai dan anggota akan digerakkan bagi membantu lebih 12,000 anggota yang telah disiapsiagakan menghadapi MTL 2026/2027.

“Memang kita akan kerahkan pasukan bantuan mengikut zon yang ada dan turut mengadakan kerjasama antara zon bagi melaksanakan latihan serta membantu antara satu sama lain ketika bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Jalinan Strategik APM Bersama Media Zon Selatan 2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS), di sini hari ini.

Ghazali berkata APM turut memperkukuh tahap kesiapsiagaan melalui peningkatan kompetensi anggota, penyelenggaraan serta penambahan aset dan logistik bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat sepanjang MTL.

Sementara itu, beliau menyambut baik pengumuman kenaikan kadar elaun sukarelawan APM menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beliau berkata kenaikan itu melibatkan elaun anggota daripada RM8 kepada RM9, manakala elaun pegawai meningkat daripada RM9.80 kepada RM10.80.

“Walaupun kita lihat kenaikan ini nampak kecil, namun ia akan memberikan semangat dan galakan kepada para petugas untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya.

-- BERNAMA