Dunia 17/10/2026 07:03 PM

Menteri Luar OIC Bincang Krisis Serantau, Kerjasama Pada Mesyuarat Di Baghdad

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Menteri Luar OIC Bincang Krisis Serantau, Kerjasama Pada Mesyuarat Di Baghdad
(AP Photo/Hadi Mizban)

BAGHDAD, 17 Okt (Bernama-Anadolu) -- Menteri-menteri luar dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berhimpun di ibu negara Iraq, Baghdad pada Sabtu bagi Sesi ke-52 pertubuhan itu, dengan krisis serantau, isu Palestin dan kerjasama dalam kalangan negara anggota menjadi agenda utama, lapor  Anadolu Ajansi.

Perdana Menteri Iraq Ali Faleh al-Zaidi merasmikan mesyuarat berkenaan, menurut Agensi Berita Iraq (INA).

Ketika menyambut kehadiran para delegasi, al-Zaidi berkata dunia Islam kini berdepan cabaran yang semakin meningkat dan menguji keupayaannya untuk hidup bersama dan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi, budaya serta media.

“Apa yang kita saksikan dari segi krisis di peringkat serantau dan antarabangsa menuntut tindakan bersama yang lebih kukuh bagi melindungi kepentingan rakyat kita, berkhidmat untuk perjuangan ummah dan menjamin masa depan generasi kita,” katanya.

Mengenai isu Palestin, Perdana Menteri menegaskan pendirian Iraq bahawa isu Palestin kekal menjadi perhatian utama terhadap konflik di rantau berkenaan.

Beliau berkata usaha memastikan keadilan buat rakyat Palestin dan menjamin hak-hak mereka adalah amat penting bagi keselamatan dan kestabilan serantau.

Al-Zaidi turut menyeru agar kebebasan perdagangan, perlindungan laluan perdagangan serta kelancaran aliran pengangkutan menerusi koridor antarabangsa dipelihara.

Beliau mengumumkan satu inisiatif Iraq yang bertujuan mengintegrasikan rangkaian tenaga, laluan kereta api, pengangkutan dan komunikasi digital dalam kalangan negara OIC, serta membangunkan sistem pembayaran digital, platform perdagangan dan memperkukuh integrasi antara zon perindustrian.

Inisiatif berkenaan bertujuan mempromosikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serta memperkasakan keupayaan negara anggota untuk mendepani krisis dan cabaran, katanya.

Al-Zaidi turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan atas usahanya meredakan ketegangan serantau dan menggesa negara-negara anggota OIC untuk mempertingkatkan usaha demi mencapai kedamaian dan kestabilan di rantau berkenaan.

Iraq mengambil alih kepresidenan bergilir OIC daripada Turkiye pada mesyuarat itu.

Dianjurkan di bawah tema “Dialog dan Solidariti: Dua Teras Utama Bagi Mempromosikan Kedamaian dan Pembangunan Mampan”, sesi berlangsung selama dua hari itu membincangkan serangan berterusan Israel di Gaza serta perkembangan di zon krisis lain di seluruh dunia Islam.

-- BERNAMA-ANADOLU