KUALA TERENGGANU, 17 Okt (Bernama) -- Polis mengeluarkan 447 saman dan menyita 125 motosikal menerusi Ops Samseng Jalanan 2026 yang dijalankan selama dua hari di dua lokasi sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan terhadap 237 motosikal yang dipercayai terlibat dalam acara Gen-Y 2026.
Beliau berkata operasi pada Jumaat dan Sabtu itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai sekumpulan remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya serta mencetuskan bunyi bising di kawasan perumahan Kampung Padang Midin dan pusat bandar raya Kuala Terengganu.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada cermin sisi, tiada lesen kenderaan motor, lesen kenderaan motor tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian ekzos motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA