KUCHING, 15 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan fasa satu Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak akan melibatkan 350 lokasi dengan peruntukan berjumlah RM545 juta.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata program itu merangkumi enam kluster dengan Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada pihak yang akan melaksanakan projek berkenaan.
“Untuk JENDELA 2 akan bermula setelah syarikat-syarikat yang terlibat menandatangani SST yang diserahkan hari ini. Jadi, mungkin dalam masa beberapa bulan akan datang, mereka akan mula membawa peralatan ke lokasi-lokasi pembinaan menara.
“Jadi ini akan bermula hampir serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kerajaan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata Sarawak juga bakal mempunyai sekurang-kurangnya tiga lokasi pendaratan kabel dasar laut melalui Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
Beliau berkata Bintulu dikenal pasti sebagai tempat utama lokasi pendaratan kabel dasar laut tersebut bagi membantu pembangunan Pelabuhan Bintulu dan kawasan sekitar.
“Secara keseluruhan, program SALAM ini akan melibatkan 10 pendaratan kabel di seluruh negara,” katanya.
Semalam, Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan projek SALAM yang bertujuan memperkukuh kesalinghubungan rangkaian komunikasi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka bermula pada suku pertama 2027 dan siap pada suku keempat 2029.
MCMC kini sedang menjalankan proses penilaian selepas dokumen pelawaan bagi pelaksanaan projek itu disiarkan.
Menurut kementerian itu, projek berkenaan melibatkan pembangunan sistem kabel dasar laut domestik baharu berkapasiti tinggi, berdaya tahan serta mempunyai kepelbagaian laluan rangkaian dan keupayaan sandaran bagi memperkukuh ketahanan infrastruktur komunikasi negara.
-- BERNAMA