Daripada Mohd Yusof Saari
TIANJIN, 16 Okt (Bernama) -- Kerjasama Malaysia-China dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah membuka ribuan peluang latihan kepada rakyat Malaysia, dengan tumpuan kini beralih kepada pembangunan tenaga kerja mahir bagi pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang teknologi baharu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu telah menyediakan 5,125 peluang latihan pada 2024 dan 2,500 lagi penempatan latihan bagi 2026, selain membekalkan peralatan latihan termasuk kenderaan elektrik untuk pembelajaran secara amali.
Beliau berkata kerjasama itu menekankan kepentingan menyelaraskan pembangunan kemahiran dengan keperluan industri bagi memastikan pelaburan dan pembangunan bakat berkembang seiring.
“Perkara paling penting bagi saya ialah manfaat pencapaian ini kepada golongan muda kita iaitu kemahiran baharu, kerjaya lebih kukuh dan kehidupan lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC 2026) di Pusat Konvensyen dan Pameran Tianjin Meijiang di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata fasa pembangunan TVET Malaysia seterusnya akan memberi tumpuan kepada TVET Berteknologi Tinggi (Hi-TVET), merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi, semikonduktor dan teknologi baharu lain bagi mempersiapkan tenaga kerja untuk pekerjaan bernilai lebih tinggi.
Beliau berkata penyertaan dalam bidang TVET di Malaysia meningkat lebih 33 peratus antara 2020 hingga 2025, dengan hampir 57 peratus lepasan sekolah yang melanjutkan pengajian memilih bidang TVET pada 2025, manakala kadar kebolehpasaran graduan mencecah hampir 96 peratus.
“Tugas kita seterusnya adalah untuk menterjemahkan peningkatan penyertaan ini kepada peningkatan keupayaan,” katanya sambil menambah bahawa kerjasama dengan China membuktikan bagaimana matlamat itu dapat dicapai.
Mengambil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata seramai 208 rakyat Malaysia menamatkan latihan dalam bidang pengoperasian kereta api di China tahun ini, sekali gus membantu membangunkan kepakaran tempatan dalam operasi dan penyelenggaraan kereta api.
Beliau berkata prinsip sama turut diterapkan di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, yang memerlukan pelaburan dan pembangunan bakat berkembang seiring.
Ahmad Zahid turut mengetengahkan inisiatif yang diumumkan oleh Perikatan Industri-Pendidikan Malaysia-China bernilai kira-kira 49 juta yuan, termasuk penyediaan 1,000 peluang biasiswa dan 2,000 peluang latihan.
Sementara itu, beliau berkata Institut Malaysia-China di Bagan Datuk akan menampung sehingga 2,000 pelajar dalam 18 bidang keutamaan, selain menyokong pembangunan kurikulum bersama, latihan tenaga pengajar dan pemindahan teknologi.
Ahmad Zahid berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembelajaran di tempat kerja yang diterajui industri, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar menerusi program pertukaran dan penempatan latihan industri serta membangunkan penyelidikan gunaan bersama bagi menangani cabaran industri.
Beliau turut menggesa lebih banyak syarikat China yang beroperasi di Malaysia supaya menyokong usaha berkenaan menerusi program perantisan, pensijilan khusus dan penyediaan peluang kerjaya.
“Saya sentiasa percaya bahawa persahabatan antara negara seharusnya membuka peluang sebenar kepada rakyat masing-masing. Menerusi kerjasama TVET dengan China, saya telah menyaksikan kepercayaan itu menjadi kenyataan apabila ribuan anak muda Malaysia mendapat peluang baharu,” katanya.
-- BERNAMA