JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) -- Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2027 (Road to FIM2027) yang bermula di sini hari ini, membuka peluang kepada lebih ramai usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meneroka perniagaan francais mampu milik sebelum diperluas ke pasaran antarabangsa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata program bertemakan “Dari Lokal Menuju Global” itu, bertujuan mendekatkan model perniagaan francais kepada masyarakat, selain mengubah persepsi bahawa industri berkenaan hanya boleh diceburi syarikat besar.
Beliau berkata jelajah yang bermula di Zon Selatan itu menghimpunkan 26 jenama menerusi 34 ruang pameran meliputi sektor makanan dan minuman (F&B), pendidikan, perkhidmatan serta kesihatan dan kecantikan.
“Program ini memberi peluang kepada bakal usahawan dan francaisi untuk bertemu secara langsung dengan pemilik jenama serta meneroka peluang perniagaan mengikut kemampuan masing-masing.
“Francais bukan sahaja tertumpu kepada F&B, malah terdapat peluang dalam sektor pendidikan dengan modal permulaan serendah RM15,000,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Paradigm Mall Convention Centre di sini hari ini.
Fuziah berkata Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) akan menyediakan pembiayaan RM300 juta bagi 2027 untuk menyokong pembangunan industri francais, dengan 30 peratus diperuntukkan kepada francaisor atau pemilik jenama manakala baki 70 peratus kepada francaisi.
Beliau berkata usaha itu turut disokong kemudahan pembiayaan perniagaan dan fasiliti mikro berjumlah RM6.6 bilion menerusi inisiatif Belanjawan bagi membantu usahawan mendapatkan modal serta mengembangkan operasi perniagaan.
Dalam pada itu Fuziah berkata sebanyak 16 sijil pendaftaran francais diserahkan kepada francaisor baharu pada program berkenaan, sekali gus mencerminkan perkembangan industri yang semakin meluas merangkumi pelbagai sektor.
Beliau berkata industri francais turut berpotensi menjadi pemacu utama ekonomi negara dengan nilai jualan dalam negara diunjurkan mencecah RM100 bilion menjelang 2030, berbanding RM46 bilion pada 2025.
Sementara itu Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Khalek Awang berkata jelajah itu, merupakan usaha memperluas peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat termasuk belia, graduan, suri rumah dan pesara yang ingin menjana pendapatan.
Beliau berkata pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat rundingan, maklumat pembiayaan dan bimbingan perniagaan secara langsung daripada pengusaha francais serta agensi berkaitan.
“Model perniagaan francais menawarkan kelebihan kerana francaisi menerima sokongan daripada pemilik jenama termasuk latihan operasi, pemasaran, pemindahan kepakaran dan panduan pematuhan piawaian,” katanya.
Road to FIM2027 merupakan program awal menjelang penganjuran Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2027), yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 6 hingga 8 Mei tahun hadapan.
Untuk rekod, FIM2026 menarik penyertaan 159 pempamer tempatan dan antarabangsa dengan kehadiran lebih 26,000 pengunjung serta mencatatkan potensi pelaburan melebihi RM600 juta.
-- BERNAMA