KUCHING, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity.
Kerajaan Negeri Sarawak diwakili Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT).
Menurut kenyataan MCMC, projek berkenaan bertujuan memperluas kesalinghubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching.
Majlis pertukaran dokumen MoU tersebut telah disempurnakan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG Datu Elizabeth Loh, yang disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil di sini hari ini.
Pelaksanaan projek itu akan memberikan tumpuan awal kepada kawasan Greater Kuching, merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Antara skop kerjasama dikenal pasti meliputi pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaian teras (connectivity backbone) bagi menyokong penyampaian perkhidmatan bandar lebih cekap, selamat dan responsif.
Selain itu, inisiatif ini juga dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan kemudahan awam, mempercepat tindak balas terhadap insiden dan kecemasan serta menyediakan pengalaman digital yang lebih baik kepada masyarakat.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis pertukaran dokumen MoU itu, Fahmi berkata inisiatif tersebut merupakan satu projek penting bagi mengukuhkan infrastruktur digital di Kuching.
“Saya yakin kerjasama ini akan memberi satu lonjakan terutamanya dari segi infrastruktur digital bagi kawasan sekitar Kuching, dan projek ini dianggarkan bernilai RM550 juta,” katanya.
-- BERNAMA