KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi, dengan merampas 18,060 liter minyak diesel bernilai RM524,176.20 dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Kibabaig, Penampang di sini semalam.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan memaklumkan serbuan itu, turut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 57 dan 39 tahun selepas dikesan menjalankan aktiviti haram tersebut, hasil intipan dan pemantauan selama dua hari.
“Serbuan dijalankan dan pemeriksaan menemukan peralatan serta minyak diesel disyaki diseleweng, manakala pemeriksaan lanjut mendapati sumber bekalan diesel tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah.
“Antara barangan yang dirampas dalam operasi itu ialah sebuah lori tangki Nissan berisi 10,000 liter diesel, sebuah lori prime mover dan sebuah tangki skid berkapasiti 20,000 liter, yang mengandungi 8,000 liter bahan bakar tersebut," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, turut dirampas enam unit tong dram dengan satu daripadanya berisi 60 liter diesel manakala lima lagi kosong, selain satu unit pam minyak berserta hos dan peralatan kelengkapan pemindahan bahan api.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan atau penyelewengan.
Menerusi serbuan terbaharu itu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 126 kes penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sepanjang tahun ini, yang melibatkan 113 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan RM30,654,614.90.
-- BERNAMA