KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa supaya garis masa yang jelas dan mekanisme yang telus diwujudkan bagi menyerap pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap susulan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pelantikan berkenaan di bawah kuota baharu.
Presiden MPS Prof Amrahi Buang berkata persatuan itu menyambut baik penjelasan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa pelantikan tetap bagi pegawai farmasi dan pergigian akan diusahakan di bawah kuota baharu yang berasingan daripada 9,000 jawatan tetap pegawai perubatan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027.
Beliau berkata langkah itu adalah perkembangan yang menggalakkan bagi pegawai farmasi kontrak yang terus berkhidmat dalam sistem penjagaan kesihatan awam meskipun berdepan ketidaktentuan mengenai prospek kerjaya jangka panjang mereka.
“MPS juga menghargai jaminan Menteri sebelum ini bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mempercepat proses penyerapan pegawai farmasi kontrak ke dalam perkhidmatan tetap.
“Sehingga Julai 2026, sebanyak 3,545 pegawai farmasi kontrak masih berkhidmat dengan KKM manakala 115 lagi berada dalam senarai menunggu atau sedang menunggu pelantikan tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MPS memaklumkan penjelasan terkini itu memberikan gambaran mengenai hala tuju dasar kerajaan, namun keutamaan sekarang adalah menterjemahkan komitmen berkenaan kepada satu laluan pelaksanaan yang jelas, telus dan boleh dilaksanakan bagi pegawai farmasi yang terjejas.
Sehubungan dengan itu, persatuan berkenaan memohon penjelasan lanjut mengenai jumlah jawatan tetap bagi pegawai farmasi yang dicadangkan di bawah kuota baharu, jangka masa yang dijangka bagi kelulusan dan pelaksanaannya serta kumpulan dan kategori pegawai farmasi kontrak yang layak dipertimbangkan untuk pelantikan tetap.
MPS turut memohon penjelasan mengenai status 115 pegawai farmasi yang kini berada dalam senarai menunggu atau sedang menunggu pelantikan tetap, selain mekanisme pelantikan dan pemilihan, termasuk sama ada pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat.
“Kami menghargai komitmen Menteri untuk mengemukakan perkara ini bagi pertimbangan di peringkat yang sewajarnya.
“Pada masa sama, pegawai farmasi yang terjejas memerlukan kepastian yang mencukupi bagi membolehkan mereka membuat keputusan mengenai kerjaya dan kesinambungan perkhidmatan mereka dalam sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya.
Amrahi berkata MPS berpandangan bahawa penyelesaian jangka panjang bagi isu pegawai farmasi kontrak juga perlu menjadi sebahagian daripada strategi tenaga kerja farmasi yang lebih menyeluruh dan mampan, berasaskan keperluan perkhidmatan sebenar, pengekalan tenaga kerja, pembangunan kerjaya serta perkembangan peranan pegawai farmasi dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
Beliau berkata MPS bersedia untuk mengadakan perbincangan secara konstruktif dengan KKM dan agensi kerajaan berkaitan dalam membangunkan mekanisme pelantikan tetap yang dicadangkan itu, selain menggesa supaya pegawai farmasi yang terjejas diberikan maklumat terkini secara berkala seiring dengan perkembangan cadangan berkenaan.
-- BERNAMA