KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelbagai inisiatif pembiayaan yang disediakan Agrobank akan membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan pemodenan pertanian, selari tumpuan Belanjawan 2027 untuk mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
Menerusi kenyataan hari ini, Agrobank memaklumkan peruntukan pembiayaan RM40 juta bagi projek akuakultur berserta dana melebihi RM1 bilion melalui Agrobank dan beberapa institusi kewangan lain akan membuka lebih banyak peluang meningkatkan pengeluaran dan mengadaptasi teknologi pertanian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata keutamaan bank itu bukan hanya menyalurkan pembiayaan, tetapi juga menyokong dan membantu pengusaha menangani cabaran operasi, meningkatkan produktiviti dan membina perniagaan lebih kukuh.
“Dalam sektor akuakultur misalnya, pembiayaan yang bersesuaian dapat membantu pengusaha meningkatkan kapasiti ternakan, menggunakan teknologi yang lebih cekap dan memperkukuh bekalan makanan tempatan,” katanya menerusi kenyataan sama.
Beliau berkata setakat September lepas, Agrobank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM2.08 bilion kepada 7,236 pengusaha dalam sektor pertanian, agromakanan, penternakan, perkhidmatan dan perikanan.
“Usaha ini turut dilengkapi dengan inisiatif seperti Agro Padi-i Salam, kerjasama Agrobank bersama FAMA serta Halal@Agrobank yang memberi tumpuan kepada keperluan berbeza pengusaha, daripada akses pembiayaan hingga peluang mengembangkan perniagaan dan pasaran,” katanya.
Menurut Agrobank, sebanyak 15 siri jelajah di pasar tani seluruh negara bersempena dengan Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA telah dilaksanakan tahun ini dengan permohonan pembiayaan perniagaan melebihi RM13 juta.
Dalam sektor kelapa sawit, pembiayaan hibrid RM100 juta yang disediakan kerajaan dijangka membantu 4,500 pekebun kecil melaksanakan penanaman semula, dengan hanya 50 peratus daripada pembiayaan perlu dibayar balik, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan produktiviti kebun.
Inisiatif itu melengkapi kerjasama Agrobank dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 bagi meningkatkan kecekapan proses permohonan, pemantauan dan tindakan susulan pembiayaan.
Menerusi inisiatif Halal@Agrobank yang dilancarkan tahun ini pula, bank itu akan membantu lebih ramai usahawan mendapatkan pensijilan halal, meningkatkan skala perniagaan dan meluaskan pasaran.
Kenyataan itu memaklumkan kemudahan pembiayaan perumahan yang disediakan Agrobank kepada pekerja gig dijangka dapat membantu golongan berkenaan memiliki rumah pertama, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses kepada pembiayaan perumahan yang lebih inklusif, khususnya kepada golongan yang berpendapatan tidak tetap.
Mengulas hala tuju bank itu bagi 2027, Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank akan terus memberi tumpuan kepada pembiayaan yang menyokong peningkatan pengeluaran makanan, penggunaan teknologi, pembangunan agropreneur dan pengembangan rantaian nilai agromakanan.
“Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan, ukuran kejayaan kami bukan hanya pada jumlah pembiayaan yang disalurkan, tetapi perubahan yang dapat dihasilkan.
“Setiap ringgit yang diamanahkan perlu memberi manfaat yang nyata kepada pengusaha, memperkukuh industri agromakanan dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.
-- BERNAMA