Am 14/10/2026 07:54 PM

PM Hulur Sumbangan Kepada Editor Kanan Makkal Osai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Hulur Sumbangan Kepada Editor Kanan Makkal Osai
kredit: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan kepada Editor Kanan Makkal Osai Rajan Boopalan yang kini menerima rawatan di Hospital Selayang selepas mengalami darah beku di kepala.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beberapa pegawai Pejabat Perdana Menteri mewakili beliau menziarahi Rajan di hospital berkenaan.

“Selain bertanya khabar dan menyampaikan salam saya, mereka turut menyerahkan sumbangan bagi pihak saya untuk meringankan beban beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Rajan diberikan kesembuhan segera dan dipermudah segala urusan rawatannya.

Beliau juga berharap Rajan kembali pulih seperti sediakala, dan keluarganya diberikan kekuatan untuk mengharungi tempoh yang mencabar ini.

Rajan sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan salur darah di kepalanya pecah.

Beliau kemudian menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dan keadaannya dilaporkan stabil bagi menerima rawatan susulan.

-- BERNAMA