Dunia 14/10/2026 05:54 PM

Malaysia Serah Bantuan Kemanusiaan US$1 Juta Kepada Nepal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Serah Bantuan Kemanusiaan US$1 Juta Kepada Nepal
(AP Photo/Niranjan Shrestha)

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia pada Rabu menyerahkan bantuan kemanusiaan berjumlah US$1 juta kepada Nepal bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula susulan banjir yang melanda negara itu pada 26 Ogos lalu.

Kementerian Luar, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan cek sumbangan bernilai US$1 juta kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, Mudita Bajracharya dalam satu majlis di sini.

Menurut kementerian itu, sumbangan berkenaan mencerminkan sokongan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal dalam menghadapi tempoh sukar susulan bencana berkenaan.

"Menteri Luar turut menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang serta semua yang terjejas akibat bencana itu," menurut kenyataan Wisma Putra.

Mohamad turut menyambut baik kelulusan Ordinan baharu oleh kerajaan Nepal mengenai perisytiharan kematian mangsa bencana yang tidak dapat dihubungi, yang memendekkan tempoh berkenaan daripada 12 tahun kepada 45 hari selepas tarikh bencana, menurut kenyataan itu.

Ordinan baharu berkenaan akan memberikan kepastian undang-undang dan pentadbiran yang lebih jelas kepada keluarga yang terjejas.

Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Nepal di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa Kerajaan Nepal kini sedang memperincikan Ordinan berkenaan serta modaliti berkaitan bagi tujuan pengeluaran sijil kematian.

Wisma Putra berkata Malaysia terus bersama kerajaan dan rakyat Nepal dalam proses pemulihan dan pembangunan semula, serta akan terus menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa dalam semangat kerjasama dan solidariti.

-- BERNAMA