Am 14/10/2026 08:22 PM

RTB Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 Capai Kemajuan 50.86 Peratus - Zairil

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RTB Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 Capai Kemajuan 50.86 Peratus - Zairil
Kredit: Kerajaan negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 14 Okt (Bernama) -- Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 di sini, kini mencapai kemajuan 50.86 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari.

Beliau berkata projek bernilai RM114.8 juta itu mula dilaksanakan pada 21 Sept 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 Sept tahun depan.

“Projek RTB Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir dengan menyediakan tahap perlindungan hingga tempoh ulangan 100 tahun (ARI).

“Pelaksanaan projek ini juga dijangka mampu mengurangkan 10.15 peratus keluasan kawasan banjir di sebahagian Lembangan Sungai Pinang serta mengurangkan kerosakan infrastruktur awam, harta benda penduduk, perumahan, sistem perhubungan dan lain-lain,” katanya.

Zairil berkata demikian menerusi kenyataan hari ini selepas meninjau kemajuan projek berkenaan.

Beliau berkata skop utama projek itu melibatkan kerja-kerja penambahbaikan Sungai Pinang termasuk pendalaman dan pelebaran sungai sepanjang 1,400 meter serta pembinaan saliran selari sepanjang 1,020 meter.

Zairil berkata projek berkenaan turut melibatkan kerja menaik taraf sistem saluran keluar, pembinaan empang limpah (piano weir) serta rumah pam yang dilengkapi dua pam skru berkapasiti 2.0 meter padu sesaat masing-masing di tebing kanan dan kiri serta pembinaan bangunan sokongan.

Beliau berkata Lembangan Sungai Pinang mempunyai keluasan takungan keseluruhan 51 kilometer persegi di Daerah Timur Laut, manakala Sungai Pinang sepanjang 3.2 kilometer merupakan saluran pengaliran air dari lembangan berkenaan ke laut.

“Pembangunan pesat di sekitar Lembangan Sungai Pinang telah menyebabkan perubahan terhadap kawasan tadahan termasuk peningkatan aras tanah dan perubahan terhadap aliran air permukaan.

“Keadaan itu menyebabkan kapasiti sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah aliran air yang tinggi terutama ketika hujan lebat, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA