Am 15/10/2026 12:20 AM

Jerebu: Raja Permaisuri Agong Kurnia Pelitup Muka Kepada Pejabat Daerah, Polis Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Raja Permaisuri Agong Kurnia Pelitup Muka Kepada Pejabat Daerah, Polis Johor
Kredit: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU, 14 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan 73,000 pelitup muka untuk diagihkan kepada pejabat daerah dan anggota polis di Johor susulan jerebu ketika ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebanyak 48,000 pelitup muka diagihkan kepada 10 pejabat daerah dengan 4,800 bagi setiap daerah manakala 25,000 lagi diserahkan kepada Polis Kontinjen Johor.

“Agihan ini dikhususkan buat petugas barisan hadapan yang berkhidmat di luar bangunan berikutan keadaan jerebu di Johor,” menurut hantaran itu.

Kurniaan itu disampaikan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini hari ini.

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi II YRZSNJ Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abd Rahim kepada Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat manakala bagi pejabat daerah diterima oleh pegawai daerah masing-masing.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Kewangan Negeri Johor merangkap Bendahari Kehormat YRZSNJ Datuk Mohd Noorazam Osman.

Menurut hantaran itu, Hoo yang mewakili warga Polis Johor merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong terhadap keselamatan dan kesihatan petugas barisan hadapan.

“Pelitup muka ini akan segera diagihkan kepada anggota yang bertugas di lapangan terutama di 13 Pusat Kawalan Daerah Jerebu di seluruh negeri,” katanya kepada Royal Press Office.

Sebanyak 26 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang ini, dengan Johor kekal sebagai negeri paling terjejas akibat jerebu.

Pasir Gudang mencatat bacaan IPU tertinggi, iaitu 184 diikuti Larkin (183), Pengerang (172), Kota Tinggi (167), Batu Pahat (162), Tangkak (158), Kluang (156) dan Segamat (152).

-- BERNAMA