KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2027, dengan skop peruntukan diperluaskan merangkumi bantuan operasi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata peruntukan itu diumumkan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
Beliau berkata bagi 2026, sebanyak RM22.5 juta telah diagihkan oleh JAKIM menerusi peruntukan khas kerajaan Persekutuan kepada 309 institusi pendidikan Islam berdaftar di seluruh negara sehingga 30 April lepas, bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf institusi berkenaan.
“Bermula Mei 2026, pelaksanaan peruntukan khas ini telah diselaraskan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan urusan agihan masih dan terus berjalan sehingga ke hari ini secara berperingkat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Marhamah menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) berhubung status peruntukan penyelenggaraan serta bantuan Kerajaan Persekutuan kepada institusi pendidikan Islam di seluruh negara.
Menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung perincian kerja pembiayaan, beliau menjelaskan peruntukan berkenaan meliputi enam bidang utama iaitu keselamatan, penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, naik taraf bangunan serta sistem perpaipan.
“Penambahbaikan ini bertujuan memberikan sokongan yang lebih menyeluruh terhadap keperluan institusi pendidikan Islam dan diharapkan semua mendapat manfaat dan kebaikan daripada peruntukan ini,” katanya.
-- BERNAMA