KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh AwanBiru Technology Bhd (Awantec), Awantec System Sdn Bhd memperoleh kontrak Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) bernilai RM8.68 juta daripada TH Plantation Bhd.
Penyedia penyelesaian pendigitalan teknologi dan bakat itu memaklumkan kontrak tersebut untuk pembekalan, pelaksanaan, konfigurasi, pengujian, latihan, pengoperasian, sokongan dan penyelenggaraan sistem ERP Sage X3 untuk THP dan anak syarikatnya.
“Kontrak itu bernilai RM8.68 juta dan selama 60 bulan dari 1 Okt 2026 hingga 30 Sept 2031,” menurutnya dalam kenyataan.
Awantec memaklumkan pelaksanaan ERP akan meliputi rangkaian operasi TH Plantations Group yang luas merangkumi pejabat korporat, ladang dan kilang kelapa sawit di seluruh negara.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan aset ketara bersih sesaham Kumpulan Awantec untuk tempoh lima tahun,” menurutnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Awantec Azizah Ali berkata kejayaan memperoleh kontrak itu mencerminkan keupayaan teknikal Awantec dan rekod prestasinya yang kukuh dalam menyediakan penyelesaian perisian bertaraf perusahaan.
“Melalui pelaksanaan Sage X3, kami menyasarkan untuk menyelaraskan aliran kerja operasi, meningkatkan keterlihatan data pada masa nyata dan memacu kecekapan operasi di seluruh rangkaian ladang dan kilang pemprosesan TH Plantations Group,” katanya.
-- BERNAMA