Am 14/10/2026 04:32 PM

Perkeso Tawar Diskaun FCLB Sehingga 80 Peratus Kepada Majikan Zon Selatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perkeso Tawar Diskaun FCLB Sehingga 80 Peratus Kepada Majikan Zon Selatan
Pertubuhan Keselamatan SosialĀ (PERKESO)

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sempena Program i-LINDUNG u-Gegar @ Melaka di Dataran Keris, Alor Gajah pada 17 Okt ini.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kewangan majikan, selain memastikan perlindungan dan keselamatan pekerja terus terjamin.

“Langkah itu juga memberi ruang kepada majikan untuk meneruskan operasi perniagaan tanpa menjejaskan kebajikan pekerja, selaras dengan komitmen Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam membina ekosistem pekerjaan yang lebih mampan dan sejahtera.

“Selain itu, Perkeso turut menawarkan geran padanan caruman LINDUNG Kendiri dengan subsidi 70 peratus kepada individu bekerja sendiri yang ingin mencarum buat kali pertama dalam 17 sektor bukan mandatori, termasuk pertanian, perniagaan dalam talian, penternakan, perikanan dan kesenian.

“Bagi individu bekerja sendiri yang ingin memperbaharui caruman dalam sektor sama, subsidi sebanyak 50 peratus turut disediakan untuk meringankan beban kewangan mereka bagi meneruskan perlindungan keselamatan sosial,” menurut kenyataan itu.

Perkeso juga menyediakan kaunter khas bagi membolehkan pencarum yang sebelum ini memilih keluar daripada skim LINDUNG 24 Jam, untuk menyertai semula skim berkenaan.

Program sehari itu akan berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang dengan sasaran kehadiran sehingga 15,000 pengunjung dan dijadualkan dirasmikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Pelbagai agensi di bawah KESUMA turut mengambil bahagian, termasuk Human Resource Development Corporation, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Talent Corporation Malaysia Berhad, Jabatan Tenaga Kerja serta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia bagi menyediakan maklumat, khidmat nasihat dan akses kepada perkhidmatan kerajaan.

Antara aktiviti yang disediakan ialah tajaan LINDUNG Kasih dan LINDUNG Kendiri, jualan menerusi trak makanan, pertandingan fesyen bertemakan filem Melayu, sukan rakyat serta pencarian 20 asam pedas terbaik di Melaka.

Program itu turut menampilkan selebriti popular tanah air seperti Bell Ngasri, Zaki Yamani, Santesh, Amelina dan Haiza Hanafi.

-- BERNAMA