Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 14 Okt (Bernama) -- Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, sederhana berbanding pertumbuhan 6.2 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut anggaran awal daripada Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI).
Pada asas suku ke suku yang diselaraskan mengikut musim, ekonomi Singapura berkembang 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 1.5 peratus pada suku kedua, menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Sektor pembuatan berkembang sebanyak 7.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 12.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Pertumbuhan tersebut disokong oleh peningkatan pengeluaran dalam kelompok elektronik, kejuruteraan ketepatan, kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan am, yang mengatasi penurunan dalam kelompok kimia dan pembuatan bioperubatan.
“Sektor pembinaan berkembang sebanyak 8.8 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, lebih cepat berbanding pertumbuhan 6.1 peratus pada suku tahun sebelumnya berikutan pengeluaran pembinaan bagi sektor awam dan swasta meningkat,” menurutnya.
Dalam kalangan sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan secara keseluruhannya mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.0 peratus pada suku ketiga, meneruskan pertumbuhan 6.9 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
Sementara itu, kumpulan sektor yang merangkumi maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, perlahan berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Pertumbuhan kumpulan sektor perkhidmatan lain - penginapan dan perkhidmatan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta industri perkhidmatan lain mencatatkan 2.1 peratus tahun ke tahun berbanding pertumbuhan 2.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut METI.
-- BERNAMA