KOTA BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Seorang pelarian Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, bulan lepas.
Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret R. Vinoshen, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh Mohammed Tuasin di bangsal kayu berhadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini antara 4.20 petang hingga 9.38 malam 18 Sept.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Sebelum ini, seorang remaja lelaki pelarian Myanmar berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kecederaan pada leher, dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam berhampiran bangsal sebuah rumah yang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid.
-- BERNAMA