Dunia 14/10/2026 02:06 PM

Cuba Tanggung Kerugian Terkumpul US$178.7 Bilion Akibat Sekatan AS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cuba Tanggung Kerugian Terkumpul US$178.7 Bilion Akibat Sekatan AS
Duta Cuba ke Malaysia Yadira Ledesma Hernández

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Cuba menanggung kerugian terkumpul lebih US$178.7 bilion akibat sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), dengan kerugian dianggarkan berjumlah US$8.083 bilion antara Mac 2025 hingga Februari 2026, menurut Duta Besar Cuba ke Malaysia Yadira Ledesma Hernandez.

Beliau berkata sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan yang berlarutan selama beberapa dekad itu, yang diperhebat lagi menerusi langkah menyasarkan bekalan bahan api, telah menyebabkan kesukaran hidup yang serius kepada rakyat Cuba serta mengancam keupayaan negara itu untuk mengekalkan perkhidmatan penting.

"Gangguan drastik terhadap sumber tenaga penting membawa kesan buruk kepada kehidupan seharian berjuta-juta keluarga di Cuba," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Ledesma Hernandez berkata sekatan itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang teruk, gangguan berpanjangan terhadap pengagihan bekalan air bersih, gangguan pengangkutan awam serta memberikan kesan berbahaya terhadap pengeluaran dan bekalan ubat-ubatan, yang seterusnya menjejaskan kesihatan awam.

"Menyekat akses kepada tenaga bukan sekadar langkah ekonomi atau politik, tetapi tindakan yang tidak sah dan tidak seimbang yang secara langsung mengancam kelangsungan hidup negara," katanya.

Havana turut mengecam langkah AS yang menyasarkan negara pembekal bahan api kepada Cuba, dengan menegaskan bahawa ancaman mengenakan tarif terhadap negara ketiga serta sekatan terhadap pembekal antarabangsa dan syarikat perkapalan merupakan pemaksaan luar wilayah yang menyalahi undang-undang.

Kerajaan Cuba menegaskan bahawa langkah-langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan prinsip kedaulatan negara serta hak menentukan nasib sendiri, manakala pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kemanusiaan akibat sekatan sepihak.

Pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Oktober 2025, sebanyak 165 negara anggota mengundi menyokong resolusi yang menggesa supaya sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan AS terhadap Cuba ditamatkan.

Beliau berkata semasa debat umum PBB yang berlangsung bulan lepas di New York, sebanyak 43 ketua negara, ketua kerajaan dan ketua delegasi secara terbuka menolak "langkah-langkah memaksa secara sepihak" terhadap Cuba serta menggesa supaya sekatan itu ditarik balik.

Ledesma Hernandez berkata sokongan antarabangsa terhadap Cuba mencerminkan penentangan terhadap campur tangan asing dan pemakaian undang-undang yang bersifat memaksa di luar wilayah negara yang menggubalnya, dengan merujuk kepada solidariti dalam kalangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Kumpulan 77 dan China (G77+China), ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta perkumpulan serantau lain.

"Tiada siapa boleh menilai prestasi sesebuah negara ketika negara itu dikenakan sekatan ekonomi, kewangan dan tenaga yang dirangka secara teliti untuk menghalang pembangunan menyeluruhnya," katanya.

Walaupun berdepan tekanan yang semakin meningkat, beliau berkata Cuba tetap bersedia mengadakan dialog berasaskan sikap saling menghormati sambil mempertahankan kedaulatan negara dan hak rakyatnya untuk hidup dalam keamanan.

Beliau turut menegaskan bahawa menyokong hak Cuba untuk terus wujud juga bermakna mempertahankan prinsip yang menjadi asas kepada sistem antarabangsa.

-- BERNAMA