Ekonomi 14/10/2026 01:53 PM

ARIM Gantung Sementara Urus Niaga Tiga Dana

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ARIM Gantung Sementara Urus Niaga Tiga Dana

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd (ARIM) menggantung sementara tiga unit dana di bawah pengurusannya, iaitu AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF), AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF) dan AmanahRaya Unit Trust Fund (ARUTF), berkuat kuasa semalam. 

Menurut ARIM dalam kenyataan hari ini, penggantungan itu meliputi urus niaga langganan, penebusan serta pertukaran masuk atau keluar bagi ketiga-tiga dana berkenaan.

Langkah itu dilaksanakan selaras dengan keperluan kawal selia yang terpakai bagi menguruskan kekangan kecairan dalam permintaan penebusan yang meningkat dan risiko kredit yang tinggi berkaitan pelaburan tertentu.

“Langkah ini bertujuan melindungi kepentingan semua pemegang unit serta memastikan layanan yang adil dan saksama.

“Ia memberi masa untuk menilai kecairan, menyemak penilaian pelaburan dan menentukan tindakan yang sewajarnya, selain mengurangkan keperluan untuk menjual aset pada harga diskaun yang ketara yang boleh menjejaskan nilai kepentingan pemegang unit.

“ARIM terus memantau pelaburan yang terjejas serta berhubung dengan pihak penerbit, pemegang amanah sukuk dan pemegang amanah dana masing-masing. Penilaian pelaburan akan dibuat berdasarkan dasar yang terpakai, dokumen dana dan keperluan kawal selia,” menurutnya.

-- BERNAMA