Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Alyaa Natasha Azhar
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Setiap kali bercuti ke luar negara, pengguna mempunyai pelbagai pilihan untuk mendapatkan sambungan mudah alih, termasuk menggunakan perkhidmatan perayauan atau roaming, membeli kad SIM di negara destinasi atau menggunakan travel eSIM yang boleh diperoleh secara digital.
Selari dengan perkembangan teknologi, penggunaan travel eSIM kini semakin mendapat tempat kerana ia membolehkan pengguna mengaktifkan perkhidmatan mudah alih secara digital pada peranti yang serasi tanpa perlu memasukkan kad SIM fizikal.
Lebih menarik, sesetengah peranti juga boleh menyimpan lebih daripada satu eSIM, sekali gus memudahkan pengguna mengurus dan menggunakan pelan mudah alih yang berbeza mengikut keperluan perjalanan mereka.
Seiring penggunaan travel eSIM yang boleh dibeli dan diaktifkan secara dalam talian melalui kod QR, pengguna juga perlu berwaspada terhadap kemungkinan kaedah ini dieksploitasi penjenayah yang menyamar sebagai penyedia travel eSIM atau menggunakan laman web dan kod QR palsu untuk memperdaya mereka membuat pembayaran atau menyerahkan maklumat peribadi.
Penyelidik Kanan Pusat Keselamatan Siber dan Perisikan Data (CCDI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Zubaile Abdullah berkata meskipun eSIM menawarkan kemudahan pengurusan profil secara maya, ia kini menjadi sasaran utama aktiviti pancingan data (phishing) dan kejuruteraan sosial.
"Pengguna tidak perlu takut menggunakan eSIM, namun perlu faham bahawa nombor telefon kini merupakan sebahagian daripada identiti digital yang sangat sensitif. Ia perlu dijaga rapi seperti kata laluan perbankan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun teknologi itu mempunyai mekanisme keselamatan standard yang ditetapkan Global System for Mobile Communications (GSMA), kelemahan sering berlaku pada tahap kawalan akses pengguna.
Zubaile berkata risiko paling ketara ketika ini adalah eksploitasi proses digital oleh penjenayah siber bagi memintas kawalan keselamatan syarikat telekomunikasi.
Katanya apabila proses pengaktifan, pemindahan atau penggantian eSIM boleh dilakukan sepenuhnya secara digital tanpa kehadiran fizikal, akaun syarikat telekomunikasi (telco) pelanggan menjadi sasaran utama.
"Jika penjenayah berjaya mengambil alih akaun melalui pancingan data, mereka boleh menyalahgunakan proses penggantian eSIM untuk memindahkan nombor telefon mangsa ke peranti mereka sendiri.
"eSIM tidak secara langsung menyebabkan peranti terdedah kepada perisian hasad (malware), namun ia mengubah landskap risiko yang menuntut perhatian serius terhadap pengesahan identiti dan keselamatan akaun digital," katanya.
Menurutnya, nombor telefon merupakan 'kunci' kepada pelbagai akaun kritikal termasuk perbankan melalui kod pengesahan satu kali (OTP) serta aplikasi komunikasi rasmi seperti WhatsApp.
Zubaile turut mengingatkan pengguna agar tidak sesekali memberikan OTP atau maklumat pengesahan kepada mana-mana pihak, walaupun individu berkenaan mendakwa sebagai wakil syarikat telekomunikasi.
"Jika telefon hilang isyarat secara tiba-tiba tanpa punca jelas, jangan anggap ia sekadar masalah liputan biasa. Segera semak dengan pihak telco kerana ia mungkin petanda akaun sedang diceroboh atau eSIM sedang dipindahkan tanpa kebenaran," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohsen Mohamad Hata berkata eSIM menawarkan kemudahan termasuk mempercepat proses penukaran rangkaian selain mempunyai ketahanan fizikal yang lebih baik berbanding SIM biasa.
"eSIM ialah SIM perisian terbenam yang membolehkan pengurusan profil telekomunikasi dilakukan secara digital. Ia mengoptimumkan ruang perkakasan peranti dan disokong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui pengesahan identiti digital Electronic Know Your Customer (eKYC)," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kemudahan itu turut berdepan cabaran keselamatan siber seperti 'eSIM swapping', pintasan kod QR pengaktifan yang tidak dilindungi dan serangan pancingan data yang menyasarkan portal penyedia telekomunikasi.
Beliau berkata penjenayah yang memperoleh kelayakan log masuk akaun telco melalui pancingan data boleh memohon profil eSIM baharu secara dalam talian untuk memintas kod OTP perbankan atau akaun lain milik mangsa.
"Penggunaan perisian hasad seperti keylogger juga berisiko mencuri maklumat log masuk atau mengakses kod QR pengaktifan yang tersimpan dalam galeri peranti pengguna," katanya.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan pengguna agar mengaktifkan pengesahan dwifaktor (2FA) berasaskan aplikasi, menetapkan kod PIN peranti yang kukuh dan tidak berkongsi kod QR aktivasi eSIM dengan mana-mana pihak ketiga.
-- BERNAMA