KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Bekalan elektrik di semua kawasan yang terjejas akibat kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau, Johor semalam, berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam kenyataan hari ini, TNB memaklumkan dua petugas teknikal syarikat utiliti itu yang cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di PMU itu kini dalam keadaan stabil di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
“Kebakaran yang berlaku pada 6.03 petang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru, termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya.
“Susulan itu, pihak TNB menggerakan pasukan teknikal untuk memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.
Menurut TNB, punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan teknikal TNB dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
TNB juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“TNB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku akibat gangguan bekalan elektrik itu serta merakamkan penghargaan kepada pelanggan terjejas atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang proses pemulihan bekalan.
“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi TNB CareLine melalui talian 15454,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA