KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau ialah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lepas.
Menerusi kenyataan di laman Instagramnya, pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata beliau akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan.
Nik Nazmi turut memohon maaf kepada parti Bersama kerana kejadian itu telah mengecewakan ahli serta penyokong dan menyatakan kesediaan untuk menerima apa jua keputusan parti.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri, keluarga dan semua yang terkesan atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku,” katanya.
Mengenai kejadian itu, Nik Nazmi berkata beliau pada mulanya bersama dengan rakan-rakan mengadakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields di sini, sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi meneliti bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Pada masa pegawai JAIS tiba, Nik Nazmi mengakui hanya beliau dan wanita tersebut yang ada di situ.
"Seperti yang saya maklumkan juga kepada pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media.
Semalam, JAIS mengesahkan satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat melibatkan seorang pemimpin politik di sekitar daerah Petaling pada 6 petang, 15 Okt lepas.
Kedua-dua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA