Am 14/10/2026 09:28 AM

Pengalaman Kanser Cetus Inspirasi Anjur Kejohanan Padel, Tingkat Kesedaran Kesihatan Wanita

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengalaman Kanser Cetus Inspirasi Anjur Kejohanan Padel, Tingkat Kesedaran Kesihatan Wanita

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Bergelar ibu buat pertama kali dan bayi perempuannya pula baru berusia lapan bulan membuatkan Dr Amelia Siah amat sukar menerima khabar duka yang beliau menghidap kanser payudara, kira-kira enam tahun lalu.

Baru berusia 35 tahun ketika itu, pegawai perubatan estetik ini telah menyusun pelbagai perancangan untuk masa depan dia dan keluarga kecilnya termasuk memulakan perniagaan sendiri.

“Fikiran saya pada waktu itu ialah tentang mereka yang masih memerlukan saya sekiranya saya tiada lagi di dunia ini,” katanya ketika ditemui  pada Aglow Cup 2026 di Pop Padel, Bamboo Hills di sini baru-baru ini.

Maju Johor

Dalam tempoh setahun setengah menjalani rawatan, termasuk 16 kitaran kemoterapi, pembedahan membuang ketumbuhan dan nodus limfa, diikuti radioterapi serta kemoterapi oral selama sembilan bulan, wanita ini berdepan pelbagai cabaran fizikal dan emosi.

Namun demi keluarga, beliau menguatkan diri sebelum akhirnya disahkan bebas kanser, dan lebih membanggakan, sepanjang tempoh berjuang melawan penyakit itu juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aglow Clinic ini berjaya mengembangkan perniagaannya yang kini mempunyai 18 cawangan. 

Maju Johor

Dari segi peribadi pula, pengalaman itu mengubah perspektif anak kelahiran Melaka ini terhadap kesihatan wanita, mendorongnya menyebarkan kesedaran berhubung kanser payudara dan kepentingan pemeriksaan awal, kepada kaum Hawa.

Dr Amelia menjadikan aktiviti yang menghimpunkan wanita sebagai platform untuk tujuan itu dan usaha berkenaan diterjemahkan menerusi Aglow Cup 2026, iaitu acara yang menggabungkan sukan padel, aktiviti kesejahteraan dan pendidikan kesihatan wanita, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia atau Pink Oktober.

Selain memberi peluang kepada wanita bersukan dan membina hubungan sesama mereka, acara itu turut mengetengahkan pendidikan mengenai pemeriksaan klinikal payudara (CBE) serta kaedah pemeriksaan sendiri bagi membantu wanita mengenali perubahan yang perlu diberi perhatian.

Maju Johor

“Saya mahu acara ini menjadi ruang untuk wanita mengutamakan kesihatan, meningkatkan keyakinan diri dan saling memberikan sokongan,” katanya.

Acara julung kali dianjurkan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000, manakala 100 peratus hasil kutipan amal disalurkan kepada Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA) bagi menyokong usaha berkaitan kanser payudara.

Bagi Dr Amelia, pengalaman berdepan dengan kanser menjadi peringatan buat dirinya agar tidak mengetepikan kesihatan sekalipun sibuk menguruskan keluarga dan mengejar cita-cita.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


NHT VSS NM