Am 13/10/2026 03:38 PM

Jerebu: Pembenihan Awan Dilaksana Di Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Pembenihan Awan Dilaksana Di Johor
Ketua Pengarah Jabatan Meteorlogi Malaysia (MET Malaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip bercakap ketika sidang media pada Majlis Perasmian Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Dewan Sultan Iskandar, UTM hari ini.

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di sekitar Johor Bahru hari ini bagi membantu menghasilkan hujan dan mengurangkan kesan jerebu yang dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata operasi itu dilaksanakan selepas keadaan jerebu di Johor memenuhi prosedur ditetapkan selain keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk proses pembenihan awan.

Beliau berkata Johor pada asalnya tidak termasuk dalam perancangan OPA minggu ini yang memberi tumpuan kepada kawasan utara Semenanjung, namun operasi berkenaan dilaksanakan susulan keadaan jerebu semasa.

“Berdasarkan prosedur berkaitan jerebu, OPA boleh dilaksanakan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, tertakluk kepada keadaan cuaca bersesuaian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau berkata fasa peralihan monsun ketika ini turut menyediakan keadaan lebih kondusif bagi operasi berkenaan susulan udara yang lebih lembap serta potensi pembentukan awan hujan yang lebih tinggi.

“Sekarang sudah fasa peralihan monsun, udara lembap dan kebarangkalian pembentukan awan hujan tebal itu tinggi. Bila kita buat operasi ini, kita mahu pastikan kawasan sasaran itu menerima hujan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan jerebu di Johor dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi berikutan tiupan angin dari kawasan kebakaran di Kalimantan, Indonesia dan keadaan lebih mencabar apabila kawasan berkenaan dilaporkan tidak menerima hujan sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata selagi kebakaran berterusan dan arah angin kekal membawa asap ke Johor, keadaan jerebu berpotensi berulang walaupun hujan dapat dihasilkan menerusi OPA.

Mohd Hisham berkata MetMalaysia menjangkakan arah angin mula berubah kepada timur laut dalam tempoh satu hingga dua minggu atau sekitar penghujung bulan ini, yang berpotensi membantu mengurangkan kemasukan asap ke Johor.

Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 9.30 pagi ini, dengan lapan daripadanya di Johor.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), lapan kawasan di Johor yang mencatat bacaan tidak sihat ialah Pasir Gudang (181), Larkin (175), Kota Tinggi (169), Pengerang (166), Batu Pahat (161), Kluang (153), Tangkak (149) dan Segamat (133).

-- BERNAMA