Ekonomi 28/11/2026 11:49 AM

Cadangan Penswastaan Yinson Bakal Perkukuh Kehadiran Malaysia Dalam Industri Tenaga Luar Pesisir Global

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cadangan Penswastaan Yinson Bakal Perkukuh Kehadiran Malaysia Dalam Industri Tenaga Luar Pesisir Global
Kredit: Yinson Production

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Cadangan penswastaan ​​Yinson Holdings Bhd oleh sebuah konsortium yang melibatkan MISC Bhd, keluarga pengasas Yinson serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menjadi langkah penting dalam memperkukuh kehadiran Malaysia dalam industri tenaga luar pesisir global.

Cadangan transaksi bernilai RM4.03 bilion itu menggabungkan sumber kewangan serta keupayaan maritim dan luar pesisir yang kukuh milik MISC dan Yinson, bersama portfolio antarabangsa Yinson dalam kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), sekali gus mewujudkan potensi bagi entiti pengendali global yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Selain memperluas portfolio luar pesisir MISC, cadangan pelaburan itu menawarkan skop lebih besar, kepakaran saling melengkapi, serta platform yang lebih luas untuk meneroka peluang di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, langkah itu juga meletakkan segmen luar pesisir ini di kedudukan baik untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang dalam industri yang dicirikan oleh keperluan modal besar serta pelaksanaan projek yang kompleks.

 

Pengembangan Cipta Peluang, Perkukuh Daya Saing

 

Brazil merupakan pasaran nasional terbesar di dunia bagi kapal FPSO, merangkumi lebih daripada 25 peratus daripada jumlah kapal yang beroperasi di peringkat global, dengan lebih 50 unit sedang beroperasi, jauh mendahului pasaran FPSO utama lain, termasuk Angola, United Kingdom, dan Nigeria.

Skala pelaburan dalam pasaran ini adalah besar. Sebelum pengambilalihan oleh Sembcorp Marine pada 2023 dan seterusnya dijenamakan semula sebagai Seatrium, Keppel Offshore & Marine telah memperoleh kontrak bernilai US$2.3 bilion (US$1 = RM4.12) bagi pembinaan kapal P-78 untuk Brazil.

Seatrium kemudiannya telah dianugerahkan kontrak bernilai kira-kira S$11 bilion (S$1 = RM3.19) bagi pembinaan unit P-84 dan P-85.

Projek ini memperlihatkan peningkatan skala dan kerumitan pembangunan luar pesisir yang mana keupayaan untuk menggerakkan modal, mengurus jadual pembinaan, dan melaksanakan projek secara cekap penting bagi mendapatkan serta menyempurnakan kontrak antarabangsa yang besar.

Bagi MISC, pelaburan dalam portfolio Yinson menyediakan peluang untuk membentuk pembezaan  jelas dalam kalangan tiga pemain utama global, bersama-sama dengan SBM dan MODEC, berbanding pemain pasaran lain.

Portfolio gabungan ini mempunyai kehadiran geografi di pasaran pengeluaran global utama di Amerika Latin, Afrika Barat, dan Asia Tenggara, serta memanfaatkan kapasiti teknikal, pelaksanaan projek, dan kewangan gabungan daripada MISC dan Yinson.

Asas aset yang lebih besar dan kepakaran saling melengkapi berupaya meningkatkan daya saing kumpulan, mempelbagaikan aliran pendapatan serta menyediakan platform yang lebih kukuh untuk meneroka peluang dalam pasaran luar pesisir yang penting.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata penggabungan semakin menjadi satu keperluan dalam ekonomi ketika pengendali berusaha mencari kekuatan kewangan untuk bersaing bagi mendapatkan kontrak antarabangsa yang lebih besar.

Beliau berkata portfolio yang lebih luas boleh meningkatkan akses kepada pembiayaan serta menyebarkan risiko projek, walaupun manfaatnya bergantung pada pembiayaan yang berdisiplin dan pengurusan modal yang berkesan.

"Jika penggabungan itu disertai dengan leveraj yang berlebihan, manfaatnya boleh hilang sekelip mata akibat kos pembiayaan," katanya kepada Bernama.

Nilai penggabungan akan ditentukan oleh keupayaannya untuk menterjemahkan skala yang lebih besar kepada pelaksanaan projek yang lebih mantap, pulangan modal yang lebih baik, serta pertumbuhan jangka panjang yang mampan, bukan sekadar berdasarkan skala semata-mata.

 

Pemilikan Swasta Tawar Tempoh Pelaburan Lebih Panjang

 

Melangkaui aspek skala kewangan, struktur pemilikan pula berpotensi mempengaruhi dari segi perancangan pelaburan sesebuah syarikat serta tindak balasnya terhadap keadaan pasaran.

Pemilikan swasta dapat menyuntik fleksibiliti lebih ketara untuk pemegang saham melaksanakan projek jangka panjang, khususnya dalam industri berintensifkan modal yang memerlukan jangka masa sehingga bertahun-tahun lamanya untuk memperoleh pulangan manakala keputusan pelaburan pula perlu berpandukan objektif strategik jangka panjang.

Innes berkata terdapat kewajaran atau alasan kukuh bagi aspek pemilikan swasta dalam perniagaan yang melibatkan jangka masa pelaburan dilanjutkan sehingga 15-20 tahun ketika pasaran awam secara amnya lebih cenderung mengutamakan ketampakan atau unjuran pendapatan bagi jangka pendek.

Sebaliknya, kalangan pengendali FPSO memerlukan modal jangka panjang serta fleksibiliti untuk menempuh keadaan kitaran turun naik harga komoditi dan kadar faedah.

“Penswastaan boleh mengurangkan sebahagian daripada tekanan jangka pendek itu. Bagaimanapun, struktur pembiayaan masih kekal memainkan peranan penting,” katanya.

Fleksibiliti sedemikian bagaimanapun tidak menafikan keperluan bagi pembiayaan yang berdisiplin serta tadbir urus yang baik dan pulangan mampan.

Bagi keluarga pengasas Yinson, cadangan transaksi itu juga merupakan satu keputusan untuk meningkatkan pegangan dalam syarikat berkenaan dan menjadi sebahagian daripada konsortium peneraju proses penswastaan terbabit.

Susulan itu, penilaian komersial turut merangkumi aspek sama ada tawaran itu memaparkan nilai sebenar perniagaan sewajarnya serta memberikan pampasan setimpal kepada pemegang saham sedia ada sebagai balasan untuk melepaskan hak penyertaan dalam pertumbuhan syarikat di masa akan datang.

Bagi MISC pula, cadangan transaksi itu berpotensi membuka peluang untuk kumpulan berkenaan bertindak mengembangkan lagi jejak geografinya menerusi penggabungan portfolio antarabangsa Yinson yang sedia kukuh di samping mempertingkat keupayaan kumpulan melaksanakan dan membiayai peluang dalam sektor luar pesisir.

Sebagaimana pengambilalihan berskala besar lainnya, manfaat transaksi itu turut bergantung pada keupayaan mengekalkan disiplin kewangan dan memastikan keputusan pelaburan terbabit mampu menjana pulangan yang mampan.

 

Usaha sama teras pertumbuhan strategik 

 

Langkah seperti usaha sama khusus sesuatu projek, sememangnya menjadi model penting dalam industri luar pesisir dan membolehkan pengendali berkongsi komitmen pembiayaan, kepakaran teknikal dan risiko pelaksanaan di samping membangunkan keupayaan serta meneroka projek berskala besar lain.

MISC misalnya mempunyai pengalaman memanfaatkan pendekatan ini menerusi kerjasama sebelum ini  dengan SBM Offshore dalam pemilikan dan pengendalian FPSO Kikeh di Malaysia yang disusuli dengan tindakan SBM Offshore menjual kepentingan kepada MISC pada Januari 2025.

Pengalaman ini membuktikan bagaimana kerjasama strategik dapat menyokong pembangunan projek luar pesisir selain membuka peluang untuk syarikat memperkukuh keupayaan operasi masing-masing.

Cadangan membabitkan Yinson mencerminkan pendekatan strategik berbeza dengan potensi penggabungan aset dan kepakaran saling melengkapi dalam satu platform korporat yang lebih meluas.

Ketika usaha sama kekal bermanfaat bagi pelaksanaan projek tertentu, penyepaduan portfolio yang lebih menyeluruh sebaliknya berpotensi memberi platform lebih komprehensif untuk MISC meneroka peluang antarabangsa, memanfaatkan keupayaan sedia ada serta memperkukuh kedudukannya dalam pasaran FPSO global.

 

MISC-Yinson Menterjemahkan Strategi Kepada Tindakan

 

Pertimbangan strategik ini dicerminkan dalam cadangan urus niaga Yinson yang diumumkan pada 6 November lepas oleh konsortium tersebut yang terdiri daripada MISC, keluarga pengasas Yinson iaitu keluarga Lim melalui Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB) serta KWSP.

Cadangan tunai bernilai RM4.03 bilion itu pada harga RM2.50 sesaham merangkumi baki 55.2 peratus pegangan dan membayangkan penilaian ekuiti keseluruhan kira-kira RM7.31 bilion.

Pengambilalihan berkenaan akan dilaksanakan melalui MY Offshore Holdings Sdn Bhd dengan MISC dan YLSB masing-masing memegang kepentingan efektif sebanyak 41.46 peratus manakala KWSP kira-kira 17.07 peratus.

Pegangan efektif MISC dan Yinson Legacy juga wajar dilihat berdasarkan jumlah nilai ekonomi yang disumbangkan oleh setiap pihak termasuk wang tunai serta saham sedia ada Yinson yang digabungkan ke dalam syarikat tujuan khas pengambilalihan tersebut.

Lembaga pengarah Yinson masih belum menerima cadangan itu dan mempunyai tempoh sehingga 4 Dis, 2026 untuk memberi maklum balas.

Komposisi konsortium itu turut menarik perhatian terhadap rasional pelaburan serta komitmen kewangan masing-masing bagi setiap ahlinya. Bagi MISC, cadangan pengambilalihan ini merupakan satu keputusan peruntukan modal yang ketara.

Bagi KWSP, penganalisis berpandangan bahawa penyertaan dana wang persaraan itu meletakkan tumpuan kepada wajaran pelaburan, penilaian serta pulangan yang disasarkan selain bagaimana risiko tersebut dinilai berbanding kepentingan pencarumnya.

Innes berkata urus niaga yang dicadangkan itu mempunyai rasional strategik yang kukuh memandangkan sumber kewangan MISC dan portfolio FPSO antarabangsa Yinson berpotensi mewujudkan pengendali global yang lebih berdaya saing dengan perolehan kontrak yang besar.

Pelaburan itu berpotensi membolehkan MISC memperkukuh kekuatan sedia adanya selain memperoleh akses kepada portfolio antarabangsa dan pengalaman Yinson sekali gus meluaskan pendedahannya kepada pasaran luar pesisir utama serta mewujudkan platform yang lebih kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan.

Innes menjelaskan bahawa hasil daripada kontrak tidak seharusnya disamakan dengan tunai yang akhirnya tersedia untuk pemegang saham, khususnya apabila kos pinjaman dan tahap kadar hutang boleh mempengaruhi pulangan.

“Saya akan memberi perhatian khusus kepada nisbah perlindungan faedah, pendedahan kepada risiko pembiayaan semula hutang dan keupayaan perniagaan gabungan itu menjana pulangan yang melebihi kos modalnya dengan margin yang selesa,” katanya.

Struktur pembiayaan akan menjadi pertimbangan penting bagi memastikan cadangan urus niaga tersebut memberi manfaat strategik dan kewangan seperti yang disasarkan.

 

Disiplin Kewangan Menjadi Asas kepada Penciptaan Nilai Jangka Panjang

 

Cadangan penggabungan MISC-Yinson menyatukan keupayaan luar pesisir yang ketara serta peluang perniagaan antarabangsa, namun kejayaan jangka panjangnya akan bergantung pada pengurusan kewangan yang berdisiplin serta keupayaan mencipta nilai kepada pemegang saham.

Menurut Innes pemegang saham Yinson perlu menilai sama ada premium pengambilalihan tersebut memadai sebagai pampasan bagi melepaskan potensi pendapatan masa hadapan mereka manakala pemegang saham MISC pula akan menanggung risiko pembiayaan dan pelaksanaan tambahan sebagai pertukaran kepada prospek pertumbuhan.

“Pengambilalihan yang menarik secara strategik masih boleh memusnahkan nilai pemegang saham sekiranya pembeli membayar harga yang terlalu tinggi atau menanggung hutang yang berlebihan,” katanya.

Bagi MISC, keutamaannya adalah untuk memastikan pelaburan yang dicadangkan itu memperkukuh kedudukan daya saingnya selain mengekalkan keupayaan kewangan untuk merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan.

Ini termasuk mengurus obligasi hutang, mengekalkan tadbir urus yang berkesan serta memastikan keputusan peruntukan modal menghasilkan pulangan yang berdaya maju dari sudut komersial.

Pemilikan persendirian mungkin memberi fleksibiliti yang lebih besar dalam meneruskan keutamaan strategik jangka panjang, namun tadbir urus yang kukuh serta kebertanggungjawaban kekal penting bagi melindungi kepentingan pemegang saham dan memastikan perniagaan yang digabungkan ini menjana pulangan yang mampan.

 

Implikasi Terhadap Industri Luar Pesisir Malaysia

 

Bagi Malaysia, cadangan penggabungan itu boleh mempunyai implikasi yang lebih meluas daripada sekadar pengambilalihan sebuah pengendali luar pesisir pantai tunggal.

Negara ini telah membangunkan keupayaannya dalam kejuruteraan luar pesisir, limbungan fabrikasi, perkhidmatan marin dan operasi FPSO.

Oleh itu,  platform MISC yang lebih kukuh boleh mempertingkatkan lagi kehadiran Malaysia dalam industri luar pesisir global.

Dengan menyatukan sumber kewangan dan keupayaan MISC yang mantap bersama portfolio dan pengalaman antarabangsa Yinson dalam sektor FPSO, penggabungan itu berpotensi mewujudkan pengendali yang mempunyai kaitan dengan Malaysia yang lebih kukuh, serta memiliki kapasiti lebih besar untuk bersaing bagi projek utama antarabangsa.

Platform yang diperluaskan itu juga berpotensi membuka peluang kepada firma kejuruteraan, penyedia perkhidmatan khusus dan syarikat lain di Malaysia, yang berada dalam rantaian nilai luar pesisir untuk menyertai projek di luar negara, di samping menyokong pembangunan kepakaran dan keupayaan tempatan.

Dalam pada itu, merealisasikan peluang tersebut mungkin bergantung kepada sejauh mana keberkesanan perniagaan gabungan tersebut dalam memanfaatkan asetnya, membangunkan teknologi, dan melibatkan pembekal Malaysia dalam operasi antarabangsanya.

Secara keseluruhannya, urus niaga yang dicadangkan itu merupakan satu peluang strategik bagi MISC untuk memperkukuh daya saing globalnya, selain meningkatkan kehadiran Malaysia dalam sektor tenaga luar pesisir.

Kejayaannya akan diukur menerusi kemampuannya untuk menterjemahkannya pada skala yang lebih besar dan keupayaan yang saling melengkapi kepada pelaksanaan projek yang lebih kukuh, pertumbuhan mampan, serta nilai berpanjangan untuk pemegang saham serta industri Malaysia yang lebih meluas.

-- BERNAMA