Politik 28/11/2026 12:09 PM

PRN Sarawak: Kira-kira 30 Kerusi GPS Dijangka Menang Tanpa Bertanding - Abang Jo

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: Kira-kira 30 Kerusi GPS Dijangka Menang Tanpa Bertanding - Abang Jo
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon, Dewan Masyarakat Gedong hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEDONG, 28 Nov (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kira-kira 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka menang tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan pentadbiran gabungan berkenaan dalam menerajui pembangunan Sarawak.

Beliau berkata perkembangan itu turut menunjukkan rakyat mahu kesinambungan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri demi masa depan Sarawak.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana adanya keyakinan rakyat di Sarawak terhadap pentadbiran GPS yang menguruskan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong di sini hari ini.

Berita lanjut menyusul.

-- BERNAMA