Am 28/11/2026 01:00 PM

Program Intervensi Awal IDEAS Autism Centre Bantu Perkembangan Anak Autisme

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Program Intervensi Awal IDEAS Autism Centre Bantu Perkembangan Anak Autisme

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Pernah berdepan kesukaran memahami kehendak dan emosi anak sulungnya yang mengalami kelewatan pertuturan, Nursyafiqa Mohd Sahri kini berbangga dengan pencapaian kanak-kanak itu yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga muzik.

Nursyafiqa, 33, berkata perkembangan positif pada anaknya, Mohamad Afif Nidzam Mohamad Azrulnidzam, 11, yang mempunyai mild autisme dan disleksia, disaksikan seawal sebulan selepas menyertai program di IDEAS Autism Centre (IAC) Rawang, Selangor ketika berusia enam tahun.

“Seawal usia tiga tahun, Mohamad Afif Nidzam mula menunjukkan simptom autisme dan kelewatan pertuturan sebelum disahkan mempunyai mild autisme serta disleksia.

Maju Johor

“Antara terapi yang dijalaninya ialah muzik, berkuda dan renang. Pembelajaran tidak tertumpu pada akademik semata-mata, tetapi sambil bermain mereka juga belajar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas konsert IAC Music Concert: A Celebration of Music, Inclusion & Global Friendship di sini malam tadi yang dirasmikan Presiden Pengasas dan Pengerusi IAC Tunku Zain Al-'Abidin ibni Tuanku Muhriz.

Menurut Nursyafiqa, anaknya yang merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan Selayang Jaya, juga pernah meraih beberapa anugerah kecemerlangan di sekolah.

Kini, Mohamad Afif Nidzam sedang mengikuti program pravokasional di IAC bagi mempelajari kemahiran pengurusan kewangan serta kemahiran hidup seperti memasak dan mencuci pakaian.

Maju Johor

Senada, Muhammad Ariff Zol, 33, berkata dia melihat perkembangan positif anak tunggalnya, Muhammad Irfan Farhan Muhammad Ariff, sejak mengikuti program di IAC dua tahun lepas.

Menurutnya, anaknya yang kini berusia tujuh tahun dan disahkan mempunyai mild autisme pada usia dua tahun menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran komunikasi dan interaksi sosial.

“Kalau di rumah, Irfan sudah mula bercakap dan menyatakan apa yang dia mahu termasuk makanan yang diingininya. Sebelum ini, dia hanya mendiamkan diri.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu memberikan lebih tenaga dan komitmen sepenuhnya kerana jika terlepas pandang, ia mungkin memberi kesan yang tidak baik kepada anak,” katanya hadir bersama-sama dengan isterinya, Nurlaili Mhd Rosli.

Maju Johor

Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Tunku Zain Al-'Abidin berkata IAC kini menyediakan perkhidmatan kepada 109 pelajar daripada 102 keluarga menerusi tiga cawangannya, iaitu di Rawang, Selangor serta Nilai dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau berkata konsert amal tahunan itu yang memasuki tahun ketiga kerjasama antara IAC dengan Lions Club of Kuala Lumpur Elite, memberi peluang kepada ibu bapa daripada ketiga-tiga pusat berkenaan untuk berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan hubungan.

“Acara ini juga memberi peluang kepada guru, penjaga, ahli terapi dan sukarelawan untuk bertukar-tukar pandangan serta meluangkan masa bersama-sama di luar rutin harian mereka,” katanya.

Maju Johor

Beliau berkata kumpulan pertama peserta program pravokasional IAC yang melibatkan kanak-kanak autistik berusia antara 10 hingga 14 tahun, dijangka menamatkan program itu pada awal 2027.

“Program ini amat penting kerana selepas intervensi awal, masih terdapat jurang kemahiran yang perlu ditangani. Kami amat berterima kasih atas sokongan penaja terhadap program pravokasional ini,” katanya.

Maju Johor

Konsert amal itu turut menampilkan dua persembahan oleh pelajar IAC Rawang, iaitu tarian Aquarium di bawah bimbingan Flamenco Academy dan persembahan muzik The Rondo of Light: Our Little Ensemble yang dibimbing oleh Asako Mitani.

Tunku Zain Al-'Abidin turut mempamerkan bakat bermain piano, mempersembahkan karya Nessun Dorma oleh Puccini daripada opera Turandot, dengan iringan Euroasia Sinfonia. Konsert itu turut menampilkan karya klasik Vivaldi dan Bach, selain persembahan artis daripada Innotech Music Group.

-- BERNAMA